JKM peruntuk RM1 juta untuk mangsa banjir di Kelantan

No Image Caption
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menyediakan keperluan kepada mangsa banjir di Kelantan tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Zulkifli Ismail berkata, peruntukan itu bagi menyediakan selimut, tilam, susu bayi, kit kecemasan ​​​​bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Bantuan ini sebenarnya melibatkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri biasanya menyalurkan bantuan membabitkan keperluan makanan melalui bantuan bencana darurat.

"Peruntukan yang diberikan ini berdasarkan data bilangan mangsa yang ada. Persediaan sudah dilakukan untuk setiap negeri tetapi buat masa ini keutamaan khusus adalah untuk Kelantan dan Terengganu," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 1 di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, pihaknya menempatkan 5,454 petugas termasuk sukarelawan banjir di 606 PPS di seluruh Kelantan.

Sukarelawan ini terdiri daripada komuniti setempat serta kakitangan agensi yang berdaftar yang berkhidmat secara sukarela.

Mengulas mengenai ada individu yang dikatakan menyamar sebagai mangsa banjir untuk mendapatkan bantuan, Zulkifli berkata, JKM hanya bertindak mendaftarkan individu di PPS sahaja.

"Untuk bantuan (selepas banjir), agensi dan jabatan lain yang terlibat mempunyai syarat dan pemilihan tersendiri bagi menentukan kelayakan mana-mana individu untuk menerima bantuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, PPS SK Kamil 1 menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. - Bernama