Isu PKM: Bukit Aman terima 29 laporan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 29 laporan yang dibuat di seluruh negara susulan kira-kira 300 orang termasuk bekas ahli kumpulan Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di sebuah dewan di Kajang, Selangor, kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, kertas siasatan sudah dibuka semalam mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Menurutnya, pihaknya akan memanggil penganjur dan individu yang hadir pada program memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai itu bagi membantu siasatan.

“Setakat jam 4 petang, kita telah menerima sebanyak 29 laporan di seluruh negara berhubung perjumpaan itu.

"Kita akan memanggil penganjur dan individu yang hadir termasuk yang memberi ucapan bagi menyiasat apa tujuan mereka menghadiri program itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai segera siasatan pertemuan ahli PKM di Kajang

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan polis segera menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan pertemuan membabitkan bekas ahli PKM itu kerana perkara yang dikhuatiri mengancam keamanan negara tidak boleh dibiarkan berlaku.

Pada Ahad lepas, media melaporkan, kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dipercayai melibatkan bekas ahli PKM, antara lain dikatakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989.

Artikel Berkaitan: