Empat suspek pecah rumah ditahan

Sebahagian daripada barangan yang dirampas.
Sebahagian daripada barangan yang dirampas.
A
A
A

KLUANG - Empat suspek termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Taman Kurnia di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, penahanan suspek berusia 26 hingga 43 tahun itu kemudiannya berjaya dilakukan di sebuah hotel bajet di Taman Intan di sini kira-kira jam 6.30 petang.

“Hasil soal siasat mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Kurnia kira-kira jam 3 petang hari yang sama.

“Mereka juga dipercayai cuba memecah masuk satu lagi rumah namun tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Abduh berkata, suspek kemudiannya berjaya dikesan di hotel berkenaan hasil maklumat orang awam yang melihat mereka dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah kenderaan jenis Honda HRV.

“Suspek kerap berada di beberapa kawasan perumahan sekitar daerah ini sebelum anggota kami berjaya mengesan kenderaan itu di tempat meletak kereta hotel berkenaan.

“Polis percaya mereka turut bergiat aktif dalam beberapa siri kejadian curi dan pecah rumah di daerah ini,” katanya.

Katanya, polis juga turut merampas beberapa barangan termasuk kereta, telefon bimbit, wang tunai, barangan perhiasan dan juga kelengkapan pecah rumah dianggarkan bernilai kira-kira RM67,800.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah membabitkan kes pecah rumah dan dadah.

“Kita juga sedang berusaha untuk mengesan rakan jenayah lain yang masih bebas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.