X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh individu sindiket Macau Scam 'masuk jerat'

Barangan yang dirampas dalam serbuan terbabit.
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh individu termasuk dua wanita ditahan kerana terlibat dalam sindiket Macau Scam yang memerangkap mangsa dengan mengaku sebagai pegawai bank.

Sindiket itu yang dikesan menjalankan aktiviti berkenaan sejak tiga bulan lalu di sekitar Sentul, menipu mangsa dengan menggunakan skrip yang disediakan dan mereka mengaku sebagai pihak bank atau pihak berkuasa.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, dalam kes terbaharu melibatkan sindiket itu, mangsa wanita yang merupakan setiausaha di sebuah syarikat kerugian lebih RM33,000 selepas ditipu sindiket itu dalam kejadian 19 November lalu.

Mangsa pada mulanya menerima panggilan telefon daripada pemanggil mengaku sebagai pegawai bank yang memaklumkan mengenai tunggakan kad kredit sebelum menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang pengirim yang mengaku sebagai wakil Bank Negara dan memberi notis kepada mangsa serta meminta nombor akses akaun bank.

Beliau berkata, mangsa yang 'naif' kemudiannya menyerahkan segala butir peribadi dan nombor pin akaun bank dan turut diminta membuka satu akaun bank lain bagi memindahkan simpanan dari akaun sebelum ini.

Mangsa hanya mengetahui ditipu selepas membuat pemindahan wang berjumlah RM33,035 pada 22 November lalu dengan empat kali transaksi ke dalam akaun berbeza.

Shanmugamoorthy berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Sentul membuat tangkapan ke atas tujuh individu itu yang berusia antara 25 hingga 30 tahun.

Mereka semua ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Prima Pusat Niaga Metro Prima Kepong Kuala Lumpur.

Hasil soal siasat, polis turut berjaya merampas empat Ipad, dua komputer riba, 16 telefon bimbit pelbagai jenis, 14 keping kad telefon prabayar, 12 keping kertas A4 yang mengandungi skrip untuk menipu mangsa dan kad akses.

Menurutnya, kesemua direman sejak 29 November dan disambung reman untuk siasatan lanjut.

Shanmugamoorthy menasihatkan orang ramai agar tidak melayan panggilan telefon mencurigakan terutamanya daripada pihak yang meminta butir peribadi dan melibatkan pemindahan wang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!