Kosongkan tangki septik menang hadiah lumayan

Narendran (berdiri, tujuh dari kiri) bersama pemenang Peraduan Sedut dan Menang anjuran IWK.
Narendran (berdiri, tujuh dari kiri) bersama pemenang Peraduan Sedut dan Menang anjuran IWK.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd meraikan pelanggannya menerusi Peraduan Sedut dan Menang yang berlangsung April hingga September lalu.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam di Ibupejabat IWK baru-baru ini.

Empat pemenang hadiah utama membawa pulang hadiah Pakej Umrah atau ke Korea untuk dua orang dan 45 pemenang lain bagi pusingan dua memenangi hadiah motorsikal Honda Wave, telefon pintar Samsung S10e, Samsung TV UHD serta kepingan emas.

Narendran berkata, Peraduan Sedut dan Menang di peringkat nasional itu dibahagikan kepada dua pusingan iaitu April hingga Jun 2019 untuk pusingan pertama dan pusingan kedua pula berlangsung pada Julai hingga September 2019.

"Pelbagai hadiah disediakan antaranya adalah empat motosikal, lapan televisyen, lapan telefon pintar dan 55 kepingan emas seberat lima gram m setiap satu untuk dimenangi.

"Selain itu, empat hadiah utama yang merupakan pakej pelancongan ke Korea dan umrah sedia untuk dimenangi pelanggan bertuah," katanya.

Beliau berkata, untuk menyertai Peraduan Sedut dan Menang, pelanggan perlu menghubungi IWK untuk mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik, membuat bayaran tunai dan melengkapkan borang peraduan.

Katanya, borang itu diserahkan bersama dengan salinan resit perkhidmatan pengosongan tangki septik dengan nombor invois yang sah kepada pekerja bertugas atau Pejabat-pejabat IWK.

Artikel Berkaitan:

"Pelanggan boleh mengemukakan sebanyak mungkin penyertaan peraduan untuk meningkatkan peluang memenangi hadiah yang ditawarkan.

"Peraduan itu bertujuan untuk menggalakkan dan memberikan kesedaran mengenai kepentingan mengosongkan tangki septik individu secara berkala," katanya.

Menurutnya, tangki septik individu, jika tidak dikosongkan secara berkala, sekurang-kurangnya dua tahun sekali, akan menyebabkan air kumbahan mencemar sumber air terutama sungai dan laut.

Sehubungan itu katanya, IWK sebagai sebuah syarikat pembetungan nasional milik kerajaan berasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan pengosongan tangki septik secara berkala demi kelestarian alam sekitar melalui peraduan seumpama ini.

Hadiah utama dimenangi Khuzaimi Mohd Aris dari Selangor, Zuriati Yusof@Abdullah dari Terengganu, Norazlina Mat Rashid dari Perak dan Lim Wei Fung dari Melaka.

Senarai penuh pemenang diumumkan di laman web IWK, www.iwk.com.my.