Banjir Terengganu diramal 'tenang' seketika

Keadaan cuaca di bandar Kuala Terengganu, pagi ini.
Keadaan cuaca di bandar Kuala Terengganu, pagi ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di negeri ini diramal berada pada tempoh 'bertenang' seketika susulan keadaan cuaca yang beransur baik setakat ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jangkaan itu berdasarkan maklumat disalurkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Pagi ini dan hari ni, Insya-ALLAH cuaca secara keseluruhan dijangka baik.

"Kita jangka akan berlaku penurunan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan mungkin ramai mangsa akan mula pulang ke rumah," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu berkata, kini pihaknya juga menumpukan tugasan selepas banjir.

Keadaan PPS di Balairaya Tanah Lot Manir, di sini yang mula dibuka sejak malam tadi. FOTO: IHSAN JABATAN AMAL MALAYSIA
Keadaan PPS di Balairaya Tanah Lot Manir, di sini yang mula dibuka sejak malam tadi. FOTO: IHSAN JABATAN AMAL MALAYSIA

"Kita akan menumpukan kerja-kerja pasca banjir seperti pembersihan di PPS dan seumpamanya," katanya.

Dalam perkembangan semasa, banjir di Terengganu menyaksikan masih terdapat 4,812 mangsa daripada 1,401 keluarga yang ditempatkan di 115 PPS melibatkan lapan daerah di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan maklumat dikemas kini menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jam 8 pagi tadi, Kuala Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan seramai 25 mangsa ditempatkan di PPS di Balairaya Tanah Lot Manir, di sini sejak malam tadi.

Daerah Marang pula merekodkan seramai 129 mangsa, Dungun (410), Kemaman (24), Hulu Terengganu (769), Setiu (1,406) Besut (1,889) dan Kuala Nerus (160).