Mesyuarat MSN sentuh isu sekolah tahfiz

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis Anugerah Kolaborasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di Sasana Kijang hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis Anugerah Kolaborasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di Sasana Kijang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Sosial Negara (MSN) dalam mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyentuh isu dan permasalahan berkaitan sekolah tahfiz di negara ini yang perlu perhatian segera.

Menurut MSN dalam satu kenyataan berhubung mesyuarat itu, Dr Wan Azizah menyentuh isu tadbir urus, perundangan, pendaftaran, pemantauan, keselamatan pelajar, kualiti pengajar serta sukatan pendidikan yang perlu diselaras dan melibatkan pelbagai pihak.

Mesyuarat kali ketiga itu turut membincangkan inisiatif dilaksanakan kerajaan antaranya penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual, prosedur operasi standard berhubung mekanisme mengesan atau menghalang kemasukan pesalah seksual daripada memasuki negara serta penyediaan Pelan Strategi Kebangsaan Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

Majlis itu juga bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan iaitu Masalah Kesihatan Mental dalam Kalangan Masyarakat, Strategi Menangani Masalah Mental dalam Kalangan Murid Sekolah dan Pelan Perancangan Bersepadu Penambahbaikan Penyertaan Orang Kurang Upaya (OKU) Dalam Perkhidmatan Awam.

Selain itu, majlis itu bersetuju dengan empat kertas makluman yang dibentangkan iaitu Memperkasa Penempatan Pekerjaan OKU dalam Sektor Swasta; Perancangan Jangka Panjang bagi Menangani Gejala Sosial Dalam Kalangan Belia dan Langkah Mengatasinya; Program Sayangi Komuniti serta Kajian Mengarusperdanakan Gender.

Turut dipersetujui ialah Program Intervensi Berfokus Minda Sihat (ProMIND) yang menyasarkan pelajar-pelajar berlatar belakang keluarga berisiko.

Selain keperluan melihat semula kesesuaian Pekeliling Perkhidmatan sedia ada mengenai dasar pencapaian satu peratus peluang pekerjaan kepada OKU supaya lebih berkesan.

Mesyuarat itu juga bersetuju remaja yang berisiko dan berada dalam kumpulan B40 akan lebih diberi perhatian untuk menyertai program intervensi yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan MSN, Dr Wan Azizah memberi penekanan terhadap kerjasama bersepadu semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan ahli akademik dalam menangani isu sosial di Malaysia. - Bernama