Mangsa banjir di Kelantan melebihi 10,000 orang

Keadaan banjir di Rantau Panjang pada petang tadi.
Keadaan banjir di Rantau Panjang pada petang tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Sehingga jam 9.14 malam ini jumlah mangsa banjir di Kelantan sudah bertambah kepada 10,172 orang melibatkan sembilan jajahan.

Berdasarkan aplikasi info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 3,470 keluarga dipindahkan ke 83 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah terbabit melibatkan 2,818 (lelaki dewasa), 3,140 (perempuan dewasa) dan 3,885 orang kanak-kanak, manakala bayi bertambah kepada 329 orang, warga emas pula sebanyak 537 orang dan 72 lagi adalah orang kurang upaya.

Mangsa paling ramai adalah di Pasir Mas yang mana jumlahnya bertambah kepada 5,751 orang ditempatkan di 28 PPS melibatkan 2,268 keluarga.

Di Tumpat pula mangsa juga turut meningkat daripada 313 orang pada jam 6 petang kepada 557 dengan melibatkan 171 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS.

Di Kota Bharu mangsa bertambah kepada 733 orang (209 keluarga) ditempatkan di lima PPS.

Pertambahan mangsa banjir juga berlaku di Tanah Merah iaitu, 642 orang (179 keluarga) berada di 13 PPS.

Di Pasir Puteh sebanyak 799 mangsa (211 keluarga) berada di lapan PPS, Bachok 179 mangsa (44 keluarga) masih berada di dua PPS manakala Machang 204 mangsa (63 keluarga) ditempatkan di enam PPS dan Jeli kekal dengan 179 mangsa (45 keluarga) berlindung di dua PPS.

Artikel Berkaitan:

Di Kuala Krai pula mangsa sedikit menurun jika dibandingkan pada sebelah petang tadi, yang mana 1,128 orang (280 keluarga) masih belum dibenarkan pulang dan berada di 16 PPS.

Sementara itu, mengikut portal ebanjirkelantan pula, paras air Sungai Golok di Jenob, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Guilemard masih melepasi paras bahaya tetapi menunjukkan trend sedikit menurun.

Sungai Golok di Jenob berada pada paras 23.71 meter (amaran 23.50m), Sungai Golok di Rantau Panjang ialah 10.59m (bahaya 9m), Sungai Kelantan di Guilemard pula 16.31m (bahaya 16m) manakala Sungai Golok di Kuala Jambu kekal 3.10m.