Mangsa banjir di Kelantan melebihi 9,000 orang

A
A

KOTA BHARU - Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dengan jumlah mangsa bertambah kepada 9,452 orang yang ditempatkan di 86 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 3,222 keluarga ditempatkan di kesemua PPS yang dibuka di sembilan jajahan terlibat sehingga jam 6 petang.

Ia melibatkan 2,657 lelaki dewasa, 2,910 perempuan dewasa dan 3,592 kanak-kanak, 293 bayi, 498 warga emas dan 76 lagi orang kurang upaya.

Pada hari keempat banjir di Kelantan, jajahan Tumpat menjadi kawasan terbaharu dinaiki air melibatkan 313 mangsa membabitkan 99 keluarga dipindahkan ke tiga PPS.

Jumlah mangsa di Pasir Mas pula terus meningkat kepada 5,335 orang, terdiri daripada 2,115 keluarga yang ditempatkan di 28 PPS dan merupakan paling ramai dipindahkan.

Situasi sama di Kuala Krai yang menunjukkan trend peningkatan dengan 1,166 mangsa melibatkan 288 keluarga berada di 20 PPS.

Di Tanah Merah, seramai 522 mangsa melibatkan 150 keluarga ditempatkan di 12 PPS, 260 orang dari 61 keluarga di dua PPS di Bachok, manakala Pasir Puteh pula 784 mangsa (206 keluarga) dipindahkan ke lapan PPS.

Di Machang, sebanyak 210 mangsa melibatkan 64 keluarga ditempatkan di enam PPS, Kota Bharu sebanyak 703 mangsa dengan 200 keluarga berada di lima PPS dan di Jeli melibatkan 179 mangsa (45 keluarga) di dua PPS.

Empat sungai melebihi paras bahaya

Sementara itu, mengikut portal ebanjir.kelantan.gov.my pula paras air di empat sungai utama Kelantan melepasi paras bahaya.

Sungai Golok di Jenob berada pada paras 23.96 meter (bahaya 23.50m), Sungai Golok di Rantau Panjang pula 10.60m (bahaya 9m), manakala Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard 16.40m (bahaya 16m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu meningkat kepada 3.10m (bahaya 3.06m).

Dua sungai yang masih melepasi paras amaran ialah Sungai Lebir di Tualang berada pada bacaan 32.90m (amaran 31m) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai di paras 24.54m (amaran 22.50 m).

Sungai Kelantan di Tambatan Diraja pula sudah menghampiri paras amaran iaitu 3.76m (amaran 4m).

INFO (sehingga jam 6 petang, 2 Disember 2019)

Jumlah mangsa: 9,452 orang

Jumlah keluarga: 3,222 keluarga

Jumlah PPS: 86 lokasi

Jumlah jajahan: Sembilan

Lelaki dewasa: 2,657

Perempuan dewasa: 2,910

Kanak-kanak: 3,592

Warga emas: 498

Bayi: 293

OKU:76

Pasir Mas: 5,335 mangsa ( 2,115 keluarga)

Kuala Krai: 1,166 mangsa ( 288 keluarga)

Tanah Merah: 522 mangsa (150 keluarga)

Bachok: 260 mangsa (61 keluarga)

Pasir Puteh: 784 mangsa (206 keluarga)

Machang: 210 mangsa (64 keluarga)

Jeli: 179 mangsa (45 keluarga)

Tumpat: 313 mangsa (99 keluarga)

Kota Bharu: 703 mangsa (200 keluarga)

........

No. telefon balai bomba daerah yang boleh dihubungi

Kota Bharu: 09-7484444

Pasir Mas: 09-7909444

Bachok: 09-7788444

Tumpat: 09-7257444

Gua Musang: 09-9121444

Tanah Merah: 09-9556444

Kuala Krai: 09-9666444

Pasir Puteh: 09-78674444

Machang: 09-9752444

Jeli: 09-9440444