UPB digerak perkasa penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya

Shaharuddin (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama Pengurus Besar yang juga Pengarah Kawasaki Motors, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing (kanan) pada Majlis Penyerahan Motosikal JPJ kepada wakil-wakil JPJ negeri di Kementerian Pengangkutan hari ini. -Foto Bernama
Shaharuddin (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama Pengurus Besar yang juga Pengarah Kawasaki Motors, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing (kanan) pada Majlis Penyerahan Motosikal JPJ kepada wakil-wakil JPJ negeri di Kementerian Pengangkutan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Unit Penguatkuasa Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digerakkan bagi membantu rondaan Unit Penguatkuasa Ronda Lebuhraya (UPRL) untuk pematuhan undang-undang di lebuh raya terutama ketika berlaku kesesakan lalu lintas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, rondaan di lebuh raya oleh JPJ ketika ini hanya melibatkan UPRL yang menggunakan kereta dan ada kalanya berdepan kesukaran untuk bergerak pantas ketika lebuh raya dipenuhi kenderaan.

"Kita mahu pastikan perjalanan di lebuh raya lancar dan kita yakin kehadiran anggota yang lebih kerap akan membuatkan pemandu lebih patuh kepada peraturan seperti tidak menggunakan lorong kecemasan," katanya pada sidang media selepas majlis perolehan 38 unit motosikal jenis Kawasaki di sini hari ini.

Shaharuddin berkata, langkah memasukkan UPB sebagai sebahagian komponen UPRL hanya akan dilaksanakan selepas pihaknya mendapat perolehan unit motosikal yang mencukupi bagi kegunaan tersebut.

"Semenjak UPB diwujudkan pada 2015, JPJ kini mempunyai sebanyak 90 unit Kawasaki Versys yang diagihkan untuk kegunaan unit itu di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, sebanyak 60,290 saman dikeluarkan UPB terhadap pengguna jalan raya bagi dari awal tahun ini sehingga Oktober lepas, meningkat berbanding 42,887 saman yang dikeluarkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 15,981 saman yang dikeluarkan melibatkan tujuh kesalahan utama dengan tidak memakai tali pinggang hadapan mencatat bilangan tertinggi iaitu 8,509 saman. - Bernama

Artikel Berkaitan: