Kematian, jangkitan denggi di Filipina naik dua kali ganda

Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP
A
A
A

MANILA - Seramai 1,502 nyawa terkorban akibat denggi di Filipina dan jangkitannya naik hampir dua kali ganda dari Januari hingga November berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Jabatan Kesihatan, angka kematian dari 1 Januari hingga 16 November adalah 39 peratus lebih tinggi daripada 1,075 yang dicatatkan tahun lalu.

Sejumlah 402,694 kes denggi direkodkan dalam tempoh 11 bulan yang sama tahun ini meningkat dari 203,335 pada tahun 2018.

Kebanyakan pesakit berusia lima dan sembilan tahun.

Ogos lalu, Filipina mengisytiharkan wabak denggi negara selepas jumlah kes naik mendadak.

Susulan daripada itu, Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque menggesa orang ramai untuk terus berjaga-jaga dan membersihkan semua tempat pembiakan nyamuk meskipun wabak itu akan berakhir.

Peningkatan kes denggi berlaku dua tahun selepas kerajaan menghentikan program imunisasi besar-besaran menggunakan vaksin Dengvaxia yang dihasilkan syarikat Perancis, Sanofi Pasteur.

Dengvaxia diberikan kepada kira-kira 830,000 kanak-kanak di Filipina dalam vaksinasi besar-besaran pertama yang menggunakan dadah baharu dari April hingga Disember 2017. - Agensi

Artikel Berkaitan: