Taufan kuat dijangka badai Filipina, lebih 3,000 penduduk dipindahkan

Taufan Kammuri (Tisoy) -Foto Twitter PAGASA-DOST
Taufan Kammuri (Tisoy) -Foto Twitter PAGASA-DOST
A
A
A

MANILA - Lebih 3,000 penduduk di tengah Filipina dipindahkan ke kawasan selamat berikutan taufan Kammuri (Tisoy) diramal melanda negara itu pada Isnin malam, lapor agensi berita Xinhua.

Perkhidmatan penerbangan dan feri ke kawasan yang dijangka terjejas turut ditangguhkan memandangkan taufan sedang bergerak menuju ke arah barat dengan kekuatan angin 20 kilometer sejam.

Kammuri dijangka mendarat di wilayah Catanduanes dan Albay pada Isnin malam atau awal Selasa pagi.

Sehingga Isnin pagi, Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizikal dan Astronomi Filipina (PAGASA) berkata, taufan itu terletak 355 kilometer di timur Virac, wilayah Catanduanes dengan kekuatan angin mencecah antara 150 hingga 185 kilometer sejam.

Beberapa kawasan yang diramal terjejas turut melibatkan gelanggang untuk acara Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di Manila dan di wilayah selatan serta utara bandar raya itu.

Bagaimanapun, Ramon Suzara dari jawatankuasa penganjuran Sukan SEA Filipina berkata, lokasi tempat berlangsungnya acara Sukan SEA tidak terjejas dengan taufan dan mengatakan pihaknya telah menyediakan pelan kontingensi.

"Selagi kategori taufan pada tahap masih boleh diurus, kita akan teruskan tetapi jika taufan semakin kuat, maka kita perlu membatalkan atau menunda perlawanan," katanya.

Suzara berkata, buat masa ini, tiada keperluan untuk melanjutkan tarikh Sukan SEA memandangkan taufan itu diramal berlaku selama empat jam dan selepas itu kita berharap keadaan akan kembali seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Filipina menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 yang dibuka secara rasmi pada Sabtu dan berakhir 11 Disember.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Pertahanan Nasional dan Pengarah Eksekutif Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) Ricardo Jalad berkata hujan lebat sekali-sekala diramal melanda Manila, kawasan di Luzon dan bahagian utara pulau Mindanao di selatan Filipina.

Jalad berkata, kekuatan ribut boleh menjejaskan beberapa kawasan pantai di wilayah Pulau Luzon di Quezon, Camarines Norte, Camarines Sur, Catanduanes, dan Samar di tengah Filipina.

Sekolah turut diarah ditutup pada Isnin. - Bernama