Bola Jaring Malaysia unggul emas

Skuad bola jaring negara meraikan kemenangan selepas berjaya pertahankan pingat emas dalam acara bola jaring wanita akhir ketika menentang Singapura di Stadium Santa Rosa Sports Multi- Purpose Complex hari ini. Malaysia menang dengan mata 48-42. - Foto Bernama
Skuad bola jaring negara meraikan kemenangan selepas berjaya pertahankan pingat emas dalam acara bola jaring wanita akhir ketika menentang Singapura di Stadium Santa Rosa Sports Multi- Purpose Complex hari ini. Malaysia menang dengan mata 48-42. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD bola jaring negara membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA ke-30, menewaskan musuh tradisi Singapura 48-42, dalam aksi final hari ini.

Lebih manis, keputusan diraih itu menyaksikan skuad negara mengekalkan rekod tanpa kalah, sepanjang kempen di temasya dwitahunan itu.

Beraksi di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, di sini, seperti dijangka perlawanan berlangsung sengit dan penuh mendebarkan, oleh kedua-dua pasukan sejurus wisel permulaan ditiup.

Dalam aksi kejar-mengejar mata itu, skuad bimbingan Tracey Robinson dilihat agak 'goyah' pada suku pertama apabila ketinggalan 12-13.

Percaturan Robinson pada suku kedua lebih berhasil, selepas anak didiknya mempamer aksi lebih kemas, namun belum cukup untuk memintas Singapura apabila kedua-dua pasukan terikat 21-21 menuju waktu rehat.

Taktikal Robinson yang membuat beberapa pertukaran strategi termasuk menukarkan posisi pemain senior, An Najwa Azizan daripada Goal Attack (GA) kepada Goal Shooter (GS), nyata membuahkan hasil, membolehkan skuad negara unggul melebarkan jurang 40-30 pada suku ketiga.

Dominasi itu kemudian berterusan pada suku terakhir, dan dengan ketinggian dimiliki pemain Malaysia ia menjadi kelebihan yang jelas, menyukarkan lagi kebangkitan Singapura.

Untuk rekod, kejayaan yang diraih hari ini merupakan pingat emas ketiga skuad bola jaring, selepas memenanginya pada edisi 2001 dan 2017 iaitu ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

Singapura, yang juga finalis dua tahun lalu terus kempunan untuk merampas kejuaraan, selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2015.

Pingat gangsa menjadi milik bersama Thailand dan Brunei yang tewas dalam aksi separuh akhir, semalam. - Bernama