X

Kindly register in order to view this article
!

Kenderaan tambang 'rezeki' terpijak di musim banjir

Samarudin (depan) menggunakan lorinya memberikan perkhidmatan kepada orang ramai yang mahu berulang-alik ke pekan Rantau Panjang.
A
A

RANTAU PANJANG - Pemilik kenderaan berat mengambil peluang menyediakan perkhidmatan kenderaan tambang untuk kemudahan penduduk sekitar ke kawasan pekan Rantau Panjang dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat sini.

Samarudin Hussin, 45, berkata, setiap kali musim tengkujuh, dia yang tinggal di Pengkalan Chepa akan 'berkampung' di kawasan tersebut untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai yang mahu berulang-alik ke pekan Rantau Panjang.

Menurutnya, perkhidmatan disediakan itu bukan bertujuan mengambil kesempatan, sebaliknya membantu memudahkan urusan penduduk setempat.

"Saya kenakan bayaran berpatutan dengan niat untuk membantu memudahkan perjalanan penduduk di kawasan tersebut.

"Lagipun, kenderaan berat seperti lori dan pacuan empat roda sahaja yang boleh melalui laluan ke Rantau Panjang ketika ini," katanya.

Sementara itu, Zaharodi Zaid, 31, berkata, perkhidmatan mengangkut orang ramai untuk ke pekan Rantau Panjang dan ICQS sudah menjadi rutin buatnya setiap kali banjir melanda kawasan itu.

Katanya, perkhidmatan itu memberikan rezeki terpijak buatnya sepanjang musim tengkujuh.

"Alhamdulillah, rezeki ini mampu menampung perbelanjaan saya dan keluarga sepanjang banjir," katanya.