Banjir: Warga emas strok diusung bomba ke hospital

Abdul Latif diusung oleh anggota bomba untuk dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
Abdul Latif diusung oleh anggota bomba untuk dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang warga emas yang mengalami serangan angin ahmar (strok) sejak setahun lalu diusung menaiki trak bomba untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Mangsa, Abdul Latif Abdullah, 76, dari Kampung Tengkawang di sini dikejarkan ke hospital Hulu Terengganu untuk menjalani rawatan hemodialisis.

Selain mengalami strok, warga emas dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Tekawang itu turut mengalami komplikasi penyakit buah pinggang kira-kira lapan tahun lalu.

Selain Abdul Latif, turut dibawa bersama ialah seorang kanak-kanak, Muhammad Nasrullah Mohd Nasir, 4, yang demam sejak dua hari lalu serta dua lelaki dewasa yang mengalami simptom sama.

Ibu kepada kanak-kanak terbabit, Hayati Sahid, 37, berkata, dia risau memikirkan cara untuk menghantar untuk anaknya ke hospital memandangkan rumahnya dilanda banjir.

"Waktu dapat tahu dia demam, saya begitu runsing memikirkan macam mana cara nak ke hospital.

"Mujurlah ada bantuan daripada pihak berkuasa yang membantu membawa kami ke hospital.

"Kalau tidak, mungkin situasi akan lebih sukar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, selain menjalankan usaha menyelamatkan mangsa banjir, pihak bomba turut membantu memindahkan mangsa yang mengalami penyakit kronik dan perlu mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, secara keseluruhan pihak bomba mempunyai kekuatan seramai 783 anggota termasuk 184 pegawai.

"Setiap anggota akan berkawal dalam tempoh 24 jam sebelum bertukar shif," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sharikan Bustaman berkata, cuaca buruk dijangka melanda daerah Dungun dan Kemaman berdasarkan maklumat diterima.

"Berdasarkan maklumat yang kita dapat kemungkinan cuaca buruk akan melanda dua daerah ini dalam tempoh sehari dua lagi.

"Bagaimanapun, kita telah membuat persiapan dan persediaan awal sebelum banjir," katanya.