Palestin kecam rancangan penempatan haram baharu di Hebron

Projek penempatan haram itu akan menggandakan jumlah penduduk Yahudi di Hebron.
Projek penempatan haram itu akan menggandakan jumlah penduduk Yahudi di Hebron.
A
A
A

RAMALLAH - Seorang tokoh kanan Palestin menyelar rancangan penempatan baharu Yahudi di Hebron, Tebing Barat.

"Pengumuman dibuat Tel Aviv itu akibat daripada keputusan Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf perkara itu walaupun ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

"Tindakan mereka sememangnya dalam konteks pencerobohan. Langkah konkrit termasuk sekatan terhadap penempatan haram tersebut adalah tanggungjawab antarabangsa," kata Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat menerusi Twitter semalam.

Kecaman itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Hal Ehwal Tentera, Naftali Bennett mengumumkan pelan kontroversi tentang projek penempatan baharu di tengah Tebing Barat yang didiami kira-kira 200,000 penduduk Palestin selepas Washington membuat keputusan tidak lagi menganggap komuniti itu sebagai tidak sah.

Bennett dengan angkuh berkata, perkembangan baharu akan menggandakan jumlah populasi penduduk Yahudi yang ketika ini mempunyai kira-kira 800 pendatang Yahudi.

Perubahan dasar AS selama empat dekad itu bakal memberi lampu hijau kepada peluasan projek penempatan Yahudi pada masa depan.

Pada masa ini, terdapat lebih 600,000 pendatang Yahudi tinggal di lebih 230 penempatan haram yang dibina sejak pendudukan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak 1967. - Agensi

Artikel Berkaitan: