Remaja cedera terkena tembakan

Hasanudin
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja cedera terkena satu das tembakan dipercayai ketika cuba melanggar pihak polis yang menahannya di Kedai Lalat di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.05 pagi itu, remaja berusia 15 tahun tersebut cedera pada bahu kiri selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanudin Hassan berkata, sebelum kejadian, anggota berpangkat koperal berkenaan sedang membuat rondaan dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) pasukan sebelum terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil berwarna biru di persimpangan lampu isyarat Kedai Lalat.

Menurutnya, terdapat dua lelaki dan seorang perempuan di dalam kereta tersebut yang bercermin gelap dan dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota peronda kemudian mengekori kereta itu sejauh kira-kira satu kilometer menghala ke Bachok dan mengarahkan supaya berhenti, namun pemandunya enggan sehinggalah tiba di hadapan sebuah masjid, pemandu bertindak membuat pusingan U dan anggota terus mengejar kereta berkenaan sebelum berjaya menghalang kereta tersebut sehingga berhenti.

“Anggota peronda turun dari kenderaan, namun pemandu cuba merempuh anggota terbabit tetapi sempat dielak hingga terjatuh. Pemandu terus memandu ke arah anggota menyebabkan anggota bangun dan melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Hasanudin berkata, sebaik kereta itu berhenti, anggota polis bertindak memecahkan cermin dan menarik keluar pemandu sebelum menyedari remaja terbabit cedera pada bahu kiri.

Pemeriksaan lanjut turut menemui seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun dan remaja perempuan yang tidak mempunyai kad pengenalan.

“Remaja yang cedera dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk rawatan dan dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga remaja berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut dan polis masih belum mengetahui motif mereka melarikan diri.

“Kami masih menyiasat kes ini dan akan mengambil keterangan daripada kesemua remaja berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.