Dua suspek pecah kereta, larikan wang tunai ditahan di Langkawi

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menahan dua lelaki yang sering berulang-alik antara Gombak dan Langkawi bagi melakukan jenayah pecah cermin kereta dan melarikan wang tunai di hadapan sebuah hotel di Kuah, Langkawi, dua hari lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, suspek yang berusia 20 dan 32 tahun itu ditahan di susulan laporan daripada seorang mangsa berusia 42 tahun yang kehilangan wang tunai RM38,000 yang baharu dikeluarkannya dari sebuah bank selepas keretanya dipecah masuk.

“Polis menerima laporan daripada mangsa yang baharu mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank sebelum keretanya yang ditinggalkannya dipecah masuk dan wang tunai dilarikan sekitar jam 3.35 petang di tempat letak kereta di Plaza Langkawi.

“Susulan itu, pasukan khas ditubuhkan dan kita berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek di hadapan sebuah hotel. Wang tunai RM38,000 ditemui semula dan turut dirampas ialah kereta jenis Perodua Axia, sebatang pemutar skru besi, telefon bimbit serta peralatan lain yang disyaki digunakan untuk memecah kereta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati mereka telah melakukan jenayah itu sejak lima bulan lepas dan sanggup menyewa rumah serta kereta di Langkawi untuk melakukan jenayah sebelum pulang ke Gombak dan akan kembali semula ke Langkawi dalam tempoh tertentu bagi melakukan lagi jenayah itu.

Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari sehingga 3 Disember dan siasatan mendapati mereka dipercayai turut terbabit dalam empat lagi kes yang sama di pulau peranginan itu yang membabitkan kerugian wang tunai sekitar RM119,400. - Bernama

Artikel Berkaitan: