Banjir Kelantan semakin buruk

Keadaan rumah penduduk di Kuala Krai yang ditenggelami air.
Keadaan rumah penduduk di Kuala Krai yang ditenggelami air.
A
A
A

KOTA BHARU - Banjir di Kelantan semakin buruk apabila 43 buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini bagi menempatkan 3,259 mangsa daripada 957 keluarga sehingga jam 7 malam tadi.

Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa-mangsa tersebut melibatkan 822 lelaki dewasa, 971 perempuan, 971 kanak-kanak lelaki dan 638 kanak-kanak perempuan.

Turut dipindahkan, 65 bayi lelaki, 50 bayi perempuan, 141 warga emas dan 19 orang kurang (OKU) lelaki dan 16 OKU perempuan.

Antara PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang, SK Kelewek, SK Bukit Panau, SK Alor Pasir, Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang, SK Pak Roman, SK Kulim, Masjid Mukim Kuala Kepok, SK Bukit Jarum, PPS Putat Tujoh dan banyak lagi di daerah-daerah utama di negeri ini.

Sehingga jam 7 malam, jajahan Pasir Mas merupakan jajahan tertinggi mencatatkan pemindahan mangsa kali ini iaitu 1,313 mangsa daripada 499 keluarga.

Jajahan Kota Baharu pula melibatkan 102 keluarga daripada enam kawasan iaitu Peringat, Ketereh, Kadok, Limbat dan Pendek.

Enam jalan utama di negeri ini juga telah ditutup kepada kenderaan ringan akibat limpahan air yang mendadak.

Artikel Berkaitan:

Penduduk menggunakan kenderaan berat untuk mengharungi air banjir di Bukit Awang.
Penduduk menggunakan kenderaan berat untuk mengharungi air banjir di Bukit Awang.

Jalan-jalan tersebut ialah kilometer 302.9, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang di Kampung Ragu dan di hadapan Petron Laloh. Bagaimanapun pengguna boleh menggunakan jalan alternatif Jalan Latarek-Chuchuh Puteri.

Empat jalan lain ialah di jajahan Pasir Mas iaitu Kampung Siram, Kampung Kubang Rambutan, Kampung Padang Licin dan Kampung Repek.

Pengguna boleh menggunakan jalan alternatif Pasir Mas-Rantau Panjang untuk meneruskan perjalanan.

Akibat hujan berterusan di beberapa daerah utama di negeri ini, sehingga jam 7 malam, enam sungai utama turut menunjukkan peningkatan air mendadak iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 10.39 iaitu melepasi paras bahaya 9.00.

Sungai Lebir di Tualang pula mencatatkan 32.78 melepasi paras amaran 31.00, Sungai Kelantan di Tangga Krai pula 22.89 melepasi paras amaran 22.50, Sungai Kelantan di Jabatan Guillemard juga mencatatkan bacaan 14.09 iaitu melebihi paras amaran 14.00.

Dua lagi sungai lain ialah Sungai Golok di Jenob iaitu 22.81 melepasi paras amaran 22.50 dan Sungai Golok di Kuala Jambu juga melepasi paras amaran iaitu 2.42 (amaran 2.15).

Penduduk tidak melepaskan peluang bermain air.
Penduduk tidak melepaskan peluang bermain air.