Amaran buat penceroboh Taman Tasik Titiwangsa: DBKL

Gambar yang memaparkan orang awam menceroboh kawasan larangan di Tasik Titiwangsa.
A
A

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengingatkan orang ramai agar tidak menceroboh kawasan larangan di Taman Tasik Titiwangsa berikutan ia masih di peringkat penambahbaikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Penolong Pengarah Kanan (Arkitek), Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan (DBKL), Ar Noor Fazlina Rosley berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang berdegil terhadap larangan tersebut.

Menurutnya, taman berkenaan dijangka dibuka sepenuhnya kepada umum seawal Januari tahun depan sambil memberitahu pihak projek dan klien ketika ini dalam proses pelantikan sekuriti serta pasukan pembersihan taman yang akan bertugas bermula 1 Disember ini.

“Kami faham betapa kalian semua tidak sabar-sabar hendak menggunakan taman ini, kami pun sama, namun itu tidak bermakna kalian dibenarkan untuk menceroboh kawasan yang masih ditutup, melangkau halangan sehingga sanggup memijak pokok-pokok renek dan pokok bunga yang telah ditanam.

“Itu adalah satu tindakan yang tak bertanggungjawab dan juga boleh meletakkan kalian di dalam kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya mengikut Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan) 2012,” katanya dalam satu kenyataannya di Facebook.

Antara reaksi netizen yang bersetuju dengan tindakan PBT terbabit mengenakan tindakan undang-undang bagi memberi pengajaran kepada pesalah.
Antara reaksi netizen yang bersetuju dengan tindakan PBT terbabit mengenakan tindakan undang-undang bagi memberi pengajaran kepada pesalah.

Perkongsian DBKL di laman Facebooknya itu tular di media sosial dan rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan PBT mengenakan denda dan hukuman penjara bagi memberi pengajaran kepada penceroboh berikutan terdapat beberapa pihak yang tidak menghiraukan larangan tersebut.

“Peringatan dah diberi tetap ingkar arahan, bila kena tindakan tak puas hati pula. Tindakan yang dibuat bukan untuk suka-suka. Bila terjadi sesuatu kemalangan nak salahkan DBKL. Ingat, bila terjadi sesuatu kejadian tak diingini sendiri tanggunglah,” tulis Azmi Rosli.

Nmzwinda M Jamin pula berkata, “Elok sahaja semua ini dikenakan tindakan oleh penguat kuasa yang bertugas. Dari segi keselamatan, belum dibuka pada umum dah kira menceroboh kawasan larangan awam.

“Lepas itu ada pula yang tak pandai nak kemaskan segala bekalan yang dibawa, sepah dan tinggalkan begitu sahaja,” tulisnya.

Notis pemberitahuan DBKL.
Notis pemberitahuan DBKL.