Dua sungai di Pahang melepasi paras berjaga-jaga
KUANTAN - Paras air Sungai Lepar di stesen Jambatan Gelugor dan Sungai Pahang di stesen Sungai Yap, Jerantut melepasi paras berjaga-jaga sehingga jam 1 tengah hari tadi.
Berdasarkan laporan terkini dikeluarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan paras air Sungai Lepar di stesen Jambatan Gelugor mencatat bacaan 28.68 meter melepasi paras berjaga-jaga 28.50 meter.
Sungai Pahang di Stesen Sungai Yap pula mencatat bacaan 48.21 meter berbanding paras berjaga-jaga 48 meter.
Situasi semasa paras air sungai di dua stesen berkenaan menunjukkan trend meningkat.
Bacaan paras air di stesen-stesen lain masih berada pada paras normal.
Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk dengan jangkaan hujan lebat berterusan di Kuantan, Pekan dan Rompin.