Perak masih perlukan pemain import

Ahmad Faizal Azumu
A
A

PASUKAN Perak masih memerlukan pemain import untuk meneruskan saingan Liga Super pada musim hadapan biarpun memberi tumpuan kepada pembangunan pemain tempatan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dua pemain import sedia ada akan dikekalkan manakala seorang lagi pemain akan ditandatangani dalam masa terdekat.

Menurutnya, antara pemain import yang dikekalkan adalah pemain tengah, Leandro Da Silva selain beberapa pemain tempatan yang ditawarkan lanjutan kontrak termasuklah kapten pasukan, Shahrul Saad dan J Partiban.

"Saya sangat bersyukur ada dalam kalangan pemain tempatan menandatangani kontrak semula dan kita masih ada lagi pemain import (yang akan diambil).

"Kita ada perancangan ambil pemain import lain tetapi tak boleh diumumkan. Saya secara peribadi merasakan pemain sedia ada sudah mencukupi tetapi mungkin jurulatih merasakan perlu ada pertambahan pemain untuk menguatkan bahagian tertentu kita akan bagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran Bersatu Cawangan Chepor Dalam/Kampung Seri Klebang di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Klebang di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, seperti yang sedia maklum, PKNP FC akan dijenamakan sebagai Perak II pada musim hadapan menjadi pasukan 'feeder' bagi Perak.

Katanya, perkembangan itu merupakan berita baik kepada sukan bola sepak Perak kerana pasukan The Bos Gaurus itu nanti akan mempunyai ramai pemain yang bagus.

Beliau berkata, perkara itu sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan pasukan terhadap pemain import.

"Jadi, walaupun saya percaya ini akan hanya memperkuatkan pasukan untuk jangka masa yang panjang tetapi ini kita perlu ke hadapan. Saya memikirkan jangka masa panjang sukan di Malaysia ini. (Contohnya), jika semua pemain pertahanan diambil dari negara luar, jadi siapa nak main untuk Malaysia. Jadi kita tak dapat cungkil pemain-pemain tempatan kita yang sebenarnya sama hebat cuma peluang itu tidak diberikan sepenuhnya.

"Saya berpandangan sesuatu perbelanjaan tertentu perlu kita sediakan untuk pembangunan pemain daripada kita membayar hingga ratusan ribu ringgit sebulan kepada pemain import yang tidaklah memberikan impak sangat," katanya.

Sebelum ini, pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan menerusi satu status yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya memberitahu, dia akan meninggalkan Perak selepas dua musim menyertai skuad The Bos Gaurus itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat tinggal Perak