Ka Siong ikrar pertahan KU TAR, ajak Guan Eng debat

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berikrar akan mempertahankan kelangsungan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KU TAR) daripada 'dimusnahkan' Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selagi beliau terpilih sebagai presiden parti itu.

Ketika ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-66, Ka Siong turut mencabar Guan Eng berdebat berhubung isu dana kolej universiti itu.

Beliau kesal Guan Eng dan bapanya yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang tergamak mempolitikkan peruntukan kepada pelajar KU TAR yang berpendapatan rendah dengan membatalkan geran padanan kerajaan bernilai RM30 juta setahun.

"Selagi saya presiden (MCA), saya akan mempertahankan KU TAR. Semua ahli MCA dan masyarakat Cina akan melindungi institusi ini.

"Dahulu semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), soal pendidikan sering diutamakan dan secara kumulatif kerajaan beri dana RM1.353 bilion untuk bantu KU TAR bagi tempoh 50 tahun dari tahun 1969.

"Apabila Kerajaan Pakatan Harapan(PH) menang, Guan Eng batalkan geran padanan kepada KU TAR tetapi bila calon PH kalah di (pilihan raya kecil Parlimen) Tanjung Piai, dia umum pula pemberian geran padanan kepada Persatuan Alumni KU TAR... Jangan ganggu KU TAR," katanya kepada sidang perwakilan di Wisma MCA, di sini hari ini.

Perhimpunan yang dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu turut dihadiri Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan gesaan Guan Eng meminta MCA melepaskan kawalan ke atas KU TAR bagi membolehkan kerajaan meneruskan penyaluran geranan padanan bernilai RM30 juta kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu.

Artikel Berkaitan:

MCA menubuhkan Ku TAR sejak tahun 1969 dan berjaya melahirkan lebih 200,000 graduan pelbagai kaum sehingga kini.

IPTS itu pada ketika ini juga mempunyai lebih 28,000 pelajar antarabangsa membabitkan 22 negara.

Dalam perkembangan lain, di sebalik kemenangan besar MCA pada Pilihan RayaKkecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November lalu, Ka Siong menegaskan MCA akan mengambil iktibar daripada kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"MCA akan memastikan sifat negatif seperti ego, angkuh dan bermulut celupar tidak akan diamalkan pemimpin parti itu," katanya.

Ka Siong menegaskan MCA bersama parti pembangkang lain harus meningkatkan kekuatan dalam Muafakat Nasional supaya dapat menjadi parti alternatif terbaik menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, MCA bersama parti komponen lain akan menunjukkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) lebih progresif dan pragmatik sekali gus dapat menawan hati rakyat pada PRU15.

"Dalam konteks lebih besar dan ke hadapan, MCA bersedia bekerjasama dengan parti politik lain sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

"Kerjasama itu atas semangat solidariti pembangkang selagi selari dengan Perlembagaan Persekutuan, menjulang kepelbagaian dan kesederhanaan,"katanya.

Ka Siong turut menegaskan sifat MCA lebih terbuka dan bersederhana dengan memperjuangkan nasib semua kaum menjadi faktor utama parti akan meminda perlembagaan bagi menggalakkan penyertaan ahli daripada kaum selain Cina.