X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar, Saifuddin digesa tidak sembunyi di belakang SPRM

Zakaria
A
A

SHAH ALAM – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat daripada parti, Zakaria Abdul Hamid hari ini bersuara bahawa pemecatannya tidak sah.

Katanya, pemecatan itu juga tidak adil dan melanggar peraturan parti.

Zakaria turut menggesa Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tidak ‘bersembunyi’ di belakang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewajarkan tindakan mereka.

“Saifudin dan Anwar berulang-kali mengatakan kononnya pemecatan saya disyorkan SPRM. Ini tidak benar dan sengaja dibuat bagi memesongkan pemahaman anggota parti dan rakyat.

“Saya sekali lagi menggesa mereka untuk berhenti bersembunyi di belakang SPRM dan menggunakan namanya untuk menyembunyikan kesalahan mereka sendiri. Mereka sebaliknya perlu bertindak adil mengikut prinsip-prinsip reformasi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya malam tadi.

Katanya, Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki juga mengesahkan bahawa tiada pertuduhan dilakukan terhadapnya.

“Mereka (Anwar dan Saifuddin) berpura-pura bahawa apa yang diperkatakan oleh SPRM mengenai terkhilaf menghantar surat itu tidak penting.

“Ini sangatlah mengejutkan dan menunjukkan mereka tidak faham kepentingan mewujudkan satu proses yang adil dalam mengadili isu disiplin,” katanya.

Zakaria juga mengakui terkejut dengan kenyataan Saifuddin berhubung peruntukan RM300,000 yang ditawarkan ketika pemilihan parti tahun lalu dilaporkan dari sumber Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Fakta jelas, saya memberitahu ahli mesyuarat dengan mengatakan terdapat projek kecil dari Kementerian Perumahan yang mana ahli-ahli boleh memohon dari majlis daerah yang berkaitan.

“Saya ingin tegaskan bahawa mereka hanya diminta memohon. Apa yang salah dengan itu? Di mana kesalahan itu? Keputusan muktamad sama ada untuk memberi sebarang projek kecil bergantung kepada pihak berkuasa berkenaan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus