Leonardo DiCaprio nafi tuduhan Presiden Brazil

Leonardo DiCaprio -Foto AFP
Leonardo DiCaprio -Foto AFP
A
A
A

SAO PAULO - Aktor terkenal Amerika Syarikat, Leonardo DiCaprio menafikan dakwaan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro yang menuduhnya memberi bantuan dana kepada kumpulan dikaitkan dengan kebakaran hutan hujan Amazon.

"Meskipun layak disokong, namun saya tidak menyumbang dana kepada organisasi dimaksudkan," tulis aktor berusia 45 tahun itu di akaun Instagram.

Khamis lalu, Bolsonaro menuduh selebriti Hollywood itu 'terlibat' dalam kebakaran di Amazon apabila menderma AS$500,000 (RM2,089,330) kepada sebuah kumpulan yang didakwa menyebabkan kebakaran di hutan hujan berkenaan bagi mendapatkan sumbangan.

Tanpa memberi sebarang bukti, Bolsonaro berkata, DiCaprio memperuntukkan sebahagian wang berkenaan kepada individu yang menyebabkan kebakaran.

DiCaprio yang juga aktivis alam sekitar dalam penafiannya berkata, masa depan ekosistem yang tiada gantinya itu kini menjadi taruhan dan dia berasa bangga dapat bersama kumpulan yang melindunginya.

Kumpulan dimaksudkan, Alter do Chao, merupakan sebuah pasukan bomba sukarela yang telah membantu memadamkan kebakaran besar di negeri Para sejak tahun lalu termasuk kebakaran terbaharu di rantau Alter do Chao yang memusnahkan kawasan bersamaan 1,600 padang bola sepak.

Polis bagaimanapun mendakwa, beberapa anggota dikaitkan dengan kumpulan terbabit sengaja menyebabkan kebakaran dalam usaha meraih sumbangan antarabangsa.

Pasukan penyiasat berkata, anggota berkenaan memulakan beberapa kebakaran bertujuan untuk menjual gambar-gambar kebakaran tersebut kepada World Wide Fund for Nature (WWF) untuk kegunaan kempen meraih sumbangan antarabangsa termasuk daripada DiCaprio.

Artikel Berkaitan:

Pihak WWF Brazil menafikan tuduhan tersebut dan berkata, hanya sejumlah AS$16,800 (RM 70,201) dipindahkan kepada kumpulan Alter do Chao untuk peralatan memadam kebakaran sementara pihak berkuasa kumpulan itu menganggap tuduhan Bolsonaro sebagai tidak berasas. - AFP