Kerajaan tidak pinggir pekebun kecil

Radzi (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Usahawan RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2019.
Radzi (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Usahawan RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2019.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan tidak pernah meminggirkan pekebun kecil menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM34.2 juta sepanjang tahun ini bagi pembangunan usahawan kumpulan berkenaan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Md Jidin berkata, bagi pengkhususan tersebut, sebanyak RM3.85 juta diperuntukkan untuk Kelantan yang dimanfaatkan oleh seramai 356 usahawan terdiri daripada pekebun kecil.

Menurutnya, kumpulan pekebun kecil berperanan membantu melakukan perubahan besar ekonomi negara selaras dengan konsep Kemakmuran Bersama yang diperkenalkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita ingin melahirkan usahawan yang tahu dan boleh mengeluarkan produk serta pada masa sama memperoleh pendapatan yang baik, selain dapat merekodkan pendapatan secara tersusun bagi memudahkan mereka kembangkan perniagaan.

“Kita juga perlu melihat dalam konteks Kemakmuran Bersama iaitu usaha untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, maka peranan usahawan kecil dan sederhana cukup besar.

“Ini kerana pada masa ini mereka telah mewujudkan aktiviti-aktiviti ekonomi di kawasan mereka dan apa yang kita ingin lihat adalah aktiviti ini terus diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Usahawan RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2019 yang turut dihadiri Pengarah Risda Kelantan, Mohd Zulkifli Hassan dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat RISDA, Muhammad Adnin Bakir Abu Bakar di Pengkalan Chepa di sini semalam.

Radzi turut menyampaikan peruntukan untuk negeri Kelantan berjumlah RM2.75 juta bagi program Aktiviti Ekonomi Tambahan, Program Groombig (RM200,000) dan Program Pensijilan Halal menerima sebanyak RM280,000 manakala Program Pembungkusan dan Pelabelan diberikan sebanyak RM500,000 serta RM100,000 untuk RISMART Mobile.

Artikel Berkaitan:

Penerima geran peruntukan daripada RISDA bergambar selepas perasmian Karnival Usahawan RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2019 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.
Penerima geran peruntukan daripada RISDA bergambar selepas perasmian Karnival Usahawan RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2019 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.

Sementara itu, beliau menyokong usaha yang dilakukan RISDA mempromosikan produk yang dihasilkan peserta kerana pekebun kecil sewajarnya tidak bergantung semata-mata kepada pendapatan hasil ladang.

“Ini usaha yang cukup baik dilakukan RISDA bagi memastikan pekebun kecil tidak hanya bergantung kepada hasil getah sebagai sumber pendapatan utama.

“Apabila mereka mempunyai pekerjaan lain, kumpulan ini tidak begitu terkesan jika berlaku kejatuhan harga getah,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pencapaian yang ditonjolkan setakat ini, pekebun kecil mempunyai peluang besar dalam bidang keusahawanan, selain memberi tumpuan kepada hasil getah.

Sehubungan itu, Radzi mahu usahawan RISDA lebih kreatif dalam menghasilkan pelbagai produk supaya ia lebih unik berbanding orang lain kerana tidak mustahil untuk ia menembusi pasaran dunia.

Radzi (tiga dari kanan) melawat reruai yang disediakan sempena Karnival Usahawan RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2019 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.
Radzi (tiga dari kanan) melawat reruai yang disediakan sempena Karnival Usahawan RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2019 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.