X

Kindly register in order to view this article
!

Rawi balik sendiri selepas tiga hari hilang

Rawi berjaya ditemui oleh ahli keluarganya di pondok, lokasi awal mangsa dilaporkan hilang.
A
A

GERIK - Kanak-kanak lelaki orang asli yang hilang akibat tabiat berjalan dalam tidur di Kampung Agek, Hulu Sungai Temenggor Rabu lalu selamat selepas pulang sendiri ke rumah pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, mangsa, Rawi Samari, 10, ditemukan ahli keluarganya pada jam 11.30 pagi di pondok iaitu lokasi awal mangsa dilaporkan hilang.

“Berdasarkan keterangan keluarganya, mangsa sering mengigau dan berjalan dalam tidur.

“Keadaan itu sering berlaku dan kebiasaannya mangsa hilang dalam tempoh sekejap namun kali ini melibatkan tempoh lama iaitu tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, ahli keluarganya bertindak membawa mangsa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di RPS Pos Kemar bagi mendapatkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Keadaan mangsa stabil dan tiada kecederaan. Pihak Kesihatan Pos Kemar akan merujuk mangsa ke Hospital Gerik untuk rawatan selanjutnya dan PKTK secara rasminya ditutup pada jam 2 petang,” katanya.

Semalam, operasi SAR melibatkan 29 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan penduduk kampung digerakkan bagi mencari mangsa.

Anggota SAR bergerak dengan berjalan selama empat jam ke lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi mencari kanak-kanak orang asli hilang


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus