Gotong-royong bersih masjid

Kawasan masjid dipenuhi lumpur akibat ditenggelami banjir ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Chenulang hari ini. Kelihatan para penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan masjid setelah air surut. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA KRAI - Selepas dinaiki air kira-kira 1.5 meter sejak awal pagi semalam, penduduk Kampung Chenulang bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung itu serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bergotong-royong membersihkan masjid kampung berkenaan untuk digunakan semula.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Chenulang, Mat Jusoh Mat Nor berkata, masjid yang berusia 34 tahun itu memang sentiasa dinaiki air terutama di tingkat bawah yang agak rendah.

"Setakat yang saya ingat, sekiranya hujan lebat berterusan bahagian tingkat bawah masjid ini akan dinaiki air kerana kedudukan masjid yang terletak di kawasan rendah.

"Sebelum ini, adakalanya tingkat bawah masjid ini akan dinaiki air sebanyak tiga kali setahun namun kejadian kali ini adalah yang pertama pada tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mat Jusoh berkata, gotong-royong yang melibatkan 31 orang membersihkan masjid hari ini bermula pada jam 10 pagi dan siap sepenuhnya dua jam kemudian.

Penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan masjid setelah air surut akibat ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Chenulang hari ini. - Foto Bernama
Penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan masjid setelah air surut akibat ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Chenulang hari ini. - Foto Bernama

Katanya, walaupun tingkat bawah masjid itu dinaiki air namun beliau bersyukur kerana ia masih mampu digunakan untuk solat Jumaat semalam.

"Penduduk Kampung Chenulang dan empat kampung lain menggunakan tingkat atas masjid untuk solat Jumaat semalam walaupun terpaksa berhimpit kerana ruang sempit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, 29 penduduk daripada lima keluarga di Kampung Chenulang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang selepas kawasan rumah dinaiki air namun kebanyakan mangsa dibenarkan pulang pada hari ini. - Bernama