Bernas pamer beras termahal di dunia sempena HPPNK 2019

Beras Kinmemai yang berharga RM436 sekilogram yang dipamerkan sempena HPPNK 2019 di reruai Bernas.
Beras Kinmemai yang berharga RM436 sekilogram yang dipamerkan sempena HPPNK 2019 di reruai Bernas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mempamerkan kepelbagaian serta keunikan beras-beras yang terdapat di Malaysia dan seluruh dunia sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall sehingga esok.

Single Gatekeeper bagi industri padi dan beras negara itu menampilkan beras putih tempatan dan beras termahal di Malaysia iaitu beras bario dari Sarawak.

Beras termahal di dunia yang dikenali sebagai beras Kinmemai dari Jepun berharga RM436 sekilogram menjadi tarikan utama di ruang pameran Bernas.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Ahmad Syakir Sharum berkata, di ruang pamerannya di khemah Agro Niaga, Bernas turut memperkenalkan beras US Parboiled dari Amerika Syarikat, basmati dan beras ponni dari India, beras merah dan beras pulut dari Thailand, beras putih import dari Thailand dan Vietnam serta pemenang beras terbaik dunia di Persidangan Beras Dunia iaitu beras Thai Hom Mali.

Bubur lambuk diedarkan kepada pengunjung HPPNK 2019 di reruai Bernas.
Bubur lambuk diedarkan kepada pengunjung HPPNK 2019 di reruai Bernas.

“Selain pameran beras, Bernas menjadikan HPNNK 2019 sebagai satu platform perkongsian maklumat menarik mengenai tugas dan tanggungjawabnya di dalam membangunkan industri padi dan beras negara.

“Antaranya ialah menguruskan stok penimbal negara, pembeli terakhir padi, menguruskan pembayaran subsidi harga padi, menguruskan Skim Pengilang Bumiputera, memastikan bekalan beras yang mencukupi pada harga yang berpatutan dan pengurusan kualiti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Bernas juga akan mengedarkan lebih 300 bubur lambuk yang dimasak menggunakan beras wangi keladi, beras perang, beras putih tempatan dan beras putih import dari Thailand pada dua sesi iaitu 11.30 petang sehingga 1.30 petang dan 4 petang hingga 5 petang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hari terakhir HPPNK 2019 pada Ahad ini, Bernas akan mengedarkan 100 bubur lambuk daripada beras termahal dunia beras Kinmemai.

Ahmad Syakir menunjukkan dua jenis beras istimewa iaitu Kinmemai dan Giant Wild Rice.
Ahmad Syakir menunjukkan dua jenis beras istimewa iaitu Kinmemai dan Giant Wild Rice.

“Bubur daripada beras mempunyai tekstur likat dan mempunyai kandungan nutrisi yang tinggi. Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan antaranya adalah teka silang kata dan magic bowl. “Pengunjung yang berjaya akan membawa pulang hadiah saguhati seperti beras 500 gram dan lain-lain lagi,” katanya.

Bernas mengambil peluang daripada penganjuran HPPNK 2019 untuk mendekati orang ramai dan mendidik mereka bahawa di dunia ini ada pelbagai jenis beras yang berbeza dari segi tekstur, saiz dan harga.

Ahmad Syakir berkata, Bernas menjadi rakan strategik HPPNK dan sememangnya menyokong apa sahaja program-program yang dianjurkan untuk memartabatkan sektor perladangan, penternakan dan nelayan.

“Apabila kita ada program sebegini orang ramai akan lebih menghargai peranan-peranan dimainkan pemain industri untuk memastikan bahawa sekuriti makanan negara ini terjamin,” katanya.

Beliau berkata, Bernas berharap orang ramai akan mengunjungi HPPNK dan program itu akan diteruskan sebagai penghargaan kepada industri ini.