Buang prasangka buruk, rasis terhadap tulisan jawi

Gambar hiasan. Gambar kecil: Teo Kong Seong
Gambar hiasan. Gambar kecil: Teo Kong Seong
A
A
A

SHAH ALAM - Segelintir individu yang beranggapan bahawa tulisan jawi boleh menjejaskan nasionalisme etnik kaum Cina dan India adalah pandangan yang bersifat buruk sangka dan membawa kepada sikap rasis yang tidak berasas.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, jawi adalah sistem tulisan selain rumi yang tidak akan memberi sebarang kesan dan perubahan kepada jati diri seseorang individu.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana jawi hanya sistem tulisan semata-mata sama seperti rumi, jadi ini tidak akan mengundang impak buruk seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan bahawa pembelajaran tulisan jawi dibenarkan diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Keputusan itu sekali gus telah menolak permohonan saman Parti Gerakan yang mencabar kerajaan untuk melaksanakan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Kok Seong berkata, keputusan yang dibuat oleh mahkamah adalah satu tindakan yang wajar dan tepat.

"Bagi saya, ia satu keputusan yang cukup bijak kerana tulisan jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara kita," katanya.

Tambahnya, pelajar boleh mengetahui bagaimana sistem tulisan jawi itu digunakan dan mampu meluaskan saluran untuk berinteraksi.

Artikel Berkaitan:

"Dengan mempelajarinya, pelajar boleh membaca dan mengeja dalam tulisan jawi sebagai platform komunikasi yang baharu untuk mereka.

"Malah, cara penulisannya yang dimulai dari kanan ke kiri adalah sangat unik sehingga adanya seni khat, maksudnya tulisan jawi ini boleh dikembangkan secara kreatif untuk mewujudkan keindahan berbanding rumi.

Justeru, beliau berkata, tindakan pihak yang mempertikaikan sesuatu yang telah menjadi lambang kedaulatan negara dan dipersetujui dalam kontrak sosial tidak mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi.