Malas membaca

A
A
A

SEORANG kawan bertanya saya. Pertanyaan dia agak susah juga hendak menjawabnya. Bukan soalan rumit dan juga bukan soalan yang menyebabkan otak terpaksa berfikir juga. Soalan senang sahaja. Cuma hendak menjawabnya agak susah juga.

Dari pertanyaan dia itu, saya agak dia memang ikhlas hendak tahu jawapannya. Matanya kelihatan bersinar-sinar berkehendakkan jawapan daripada soalannya itu. Cuma seperti yang saya kata tadi jawapannya yang susah hendak diberi.

Sebelum dia bertanya soalan itu, kami sedang minum-minum sahaja. Kebetulan pula saya sedang membelek-belek suratkhabar Sinar membaca tentang Belanjawan Terengganu 2020 pula. Yalah hendak tahu juga tentang belanjawan ini, memandangkan ini negeri kelahiran saya.

“Macam mana dengan belanjawan 2020 Terengganu?” tanya kawan saya ketika melihat saya tekun membelek suratkhabar.

“Itulah tengah baca ni. Macam menarik juga. Ada gula-gula untuk penjawat awam,” kata saya.

“Oh berapa?” tanya kawan saya.

“RM500 untuk penjawat awam. Hadiah dari kerajaan,” kata saya.

“Untunglah, ada apa lagi?” tanya kawan saya lagi.

Artikel Berkaitan:

“Hmm...banyak juga kalau hendak membacanya. Macam-macam ada,” kata saya sambil tersenyum.

“Apa yang macam-macam ada?” tanya kawan saya cuba merebut suratkhabar dari saya. Entah kenapa pula dia seperti berminat pula walaupun dia bukanlah rakyat Terengganu. Cuma kepala dia berkupiah sahaja.

“Belanjawan ni dipanggil belanjawan defisit. Defisit sebanyak 10 peratus. Sebabnya anggaran hasil yang diperolehi ialah RM1.66 bilion sahaja. Sedangkan peruntukan untuk perbelanjaan mengurus ialah RM1.88 bilion,” kata saya sambil menunjuk-nunjuk muka suratkhabar.

“Oh, begitu. Lagi? Tanya kawan saya itu semula.

“Kau bacalah sendiri nanti. Baca ikut telefon pun boleh,”kata saya malas pula hendak menjadi pelapor berita pula kepada dia.

“Ala malaslah, kau ceritalah sahaja kat aku. Lagipun aku nak tahu secara ringkas sahaja,” kata kawan saya sambil menghulur kepalanya ingin melihat apa lagi berita yang terpampang di dalam suratkhabar Sinar Harian.

Susah juga hendak melayan orang yang malas hendak membaca sendiri ini. Bukannya tak tahu membaca, tapi bila malas hendak membaca dan mengharapkan orang suap sahaja maka terjadilah penyebaran berita -berita yang tidak benar pula.

Lagipun, mungkin mesej yang disampai tidak diperiksa sendiri pula maka menimbulkan fitnah juga. Lebih-lebih lagi zaman semua di hujung jari ini. Kalau terima berita dan kemudian semak dengan membaca sendiri maka tidaklah tersebar berita yang mungkin setengah masak.

Saya cuba membaca lagi berita tentang belanjawan ini. Dalam pembentangan ini ada dinyatakan tentang lima teras utama. Dalam setiap teras ini ada 25 strategi pula di mana setiap teras mempunyai beberapa strategi strategi. Dan pada masa yang sama mempunyai 134 inisiatif pula.

Kawan saya seperti menunggu pula saya hendak bersuara memberitahu berita belanjawan ini. Saya tersenyum sendirian sahaja. Dia macam tidak berpuas hati lagi. Cuba mendesak saya,

“Apa lagi katanya?”

“Oh ya tema belanjawan kali ini ialah, Membina Generasi Terengganu Sejahtera,” kata saya sambil tersenyum.

“Bagus juga temanya ya,”kata kawan saya sambil mengangguk-angguk kepala.

“Aha ya. Bagus. Secara keseluruhannya, selain untuk ekonomi, modal insan juga dititik beratkan juga,“ kata saya pula.

Kemudian kawan saya berkata pula, “Terengganu ni budak- budak sekolah dia pun bagus. Ramai orang puji sebenarnya. Peperiksaan besar ramai yang berjaya dengan cemerlang.”

Saya mengangguk-angguk tersenyum lebar, sambil kembang kempis mengembangkan hidung bangga dengan pencapaian akademik di Terengganu.

“Memang sudah bertahun-tahun Terengganu memonopolinya. Negeri-negeri lain bolehlah mengambil contoh dan belajar dengan Negeri Terengganu ini juga.”

Kawan saya tersenyum dan angguk angguk juga tanda bersetuju dengan saya. Kemudian katanya,

“Akupun kalau boleh nak pindah Terengganu sahaja. Nak sekolahkan anak-anak aku kat Terengganu.”

Kemudian dia bertanya lagi, “apa lagi yang ada dalam belanjawan?”

“Ada bajet juga untuk adun pembangkang. Katanya RM250,000 untuk setiap adun. Masyuk,” kata saya.

“Oh itu untuk perbelanjaan untuk program rakyat juga. Adun kerajaan dapat berapa pula?”

“Entah, tak tahu pulak aku. Dengar cerita lebih sikit dari adun pembangkang.”

Sedang saya hendak membelek suratkhabar ke halaman seterusnya, kawan saya berkata pula,

“Eh aku tengah berfikir juga. Walaupun Terengganu cemerlang dalam akademik, tapi banyak pula berita-berita tentang sumbang mahram ya. Kenapa ek?” tanya kawan saya dengan penuh ikhlas dan harapan ingin tahu.

Seperti yang saya beritahu awal tadi, matanya pun bersinar-sinar juga.

*Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.