PBB digesa ambil tindakan undang-undang terhadap rejim Israel

Muhammad Faisal menyerahkan pokok zaitun kepada Stefan sebagai simbolik penyerahan memorandum tersebut.
Muhammad Faisal menyerahkan pokok zaitun kepada Stefan sebagai simbolik penyerahan memorandum tersebut.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap rejim Israel yang melakukan kekejaman serta penindasan terhadap rakyat Palestin.

Perkara itu dapat dilakukan PBB melalui Jawatankuasa khasnya, Committee on the Exercise of the Inalienable Rights of the Palestinian People.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Israel secara sedar dan berterusan melakukan tindakan pencabulan hak asasi termasuk sekatan ke atas pergerakan manusia dan barangan.

"Rejim Zionis juga secara haram menempatkan warganya ke penempatan Tebing Barat," katanya.

Menurutnya, selama tujuh dekad penjajahan Zionis dan pergolakan di Asia Barat belum pernah surut.

"Saban tahun angka kematian dan kemusnahan harta benda meningkat dan rundingan hanya menemui jalan buntu," katanya.

Justeru beliau menggesa PBB mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

"Resolusi 2334 mengesahkan bahawa pembinaan penempatan dalam wilayah Palestin termasuk di Jerusalem Timur sebagai tidak sah.

Artikel Berkaitan:

"Keengganan Israel untuk patuh kepada undang-undang ini membuktikan kebiadapan mereka.

"Resolusi ini cukup untuk menjadi suatu landasan bagi mendapatkan izin pendakwaan daripada Dewan Pra-Pengadilan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selari dengan Artikel 15 (1) Statute Rome," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum mendukung perjuangan Palestin kepada Setiausaha Agong UN PBB António Guterres.

António diwakili oleh Koordinator Residen UN PBB di Malaysia, Stefan Priesner.

Muhammad Faisal juga mahu seluruh dunia mengecam keras tindakan tidak bertamadun rejim Israel yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia dan keadilan.

"Kami juga menyeru seluruh warga Malaysia bekerjasama dengan pihak PBB dalam konteks isu Palestin ini dan berusaha secara bersama untuk mencari solusi berkait isu ini.

Kami berharap kedua-dua pihak menyemangati prinsip sama," katanya.

Tarikh 29 November merupakan peringatan Hari Antarabangsa Solidariti Bersama Warga Palestin, seperti yang digazetkan melalui Resolusi 32/40B oleh PBB.