Gandingan 2K lebih berkualiti, terbukti tajam

Kipre (kanan) disambut penyokong Kedah sejurus beliau tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pagi tadi. -Foto Kedah FA
Kipre (kanan) disambut penyokong Kedah sejurus beliau tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pagi tadi. -Foto Kedah FA
A
A
A

USAHA Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berjaya memancing dua penyerang sensasi di Liga Malaysia bagi menghadapi musim 2020 melegakan penyokong Lang Merah dan kerja yang tersusun tersebut dipuji.

Presiden Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, selepas Kedah kehilangan Fernando Rodriguez serta Jonathan Bauman yang tidak disambung kontrak, pengurusan KFA pantas mencari pengganti yang dilihat lebih berkualiti dan terbukti tajam di depan gol iaitu Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.

Menurutnya, ada penyokong yang mempertikaikan keputusan KFA melepaskan penjaring terbanyak pasukan itu iaitu Fernando namun beliau percaya pasukan mempunyai alasan kukuh untuk membuat keputusan tersebut.

"Saya sangat bersetuju pemilihan Kipre dan Kpah yang dikenali gandingan 2K sebagai penyerang import Kedah pada musim 2020. Keputusan tepat dan sudah dijangka oleh peminat fanatik Hijau Kuning berdasarkan cakap-cakap di kedai kopi sebelum ini.

"Penyerang seperti mereka berdua sudah terbukti mempunyai reputasi penyudah baik malah mereka berpengalaman luas dalam liga Malaysia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Safarizal yang juga jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM)

berkata, pihaknya yakin Kipre dan Kpah mampu membantu pasukan dalam saingan musim depan termasuklah di peringkat kelayakan AFC yang dijadualkan Januari 2020.

Menurutnya, penyokong juga meletakkan harapan tinggi kepada muka-muka baru yang dibawa masuk oleh Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak serta beberapa muka lama yang dikekalkan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun status Kipre dan Kpah agak gah tetapi kami harap mereka pantas menyesuaikan diri dengan taktikal yg akan diterapkan oleh Aidil nanti.

"Kedah bergerak sebagai satu pasukan sejak dahulu lagi dan kejayaan itu hadir atas semangat kerjasama pasukan yang tinggi dan keharmonian seperti itu yang perlu dikekalkan yang penyokong mahu saksikan," katanya.

Terdahulu, Kipre yang merupakan penyerang Terengganu FC sejak 2017 tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pagi tadi dan disambut oleh penyokong setia Lang Merah dan pengurusan KFA.

Pemain itu akan menjalani ujian kecergasan terlebih dahulu sebelum menandatangani kontrak rasmi yang dijadualkan diadakan pada 3 Disember ini.