Promosi produk Peladang

Ahmad menunjukkan produk keluaran ahli Nafas yang diberikan penjenamaan Peladang sempena sambutan HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall semalam. - FOTO ZAHID IZZANI
Ahmad menunjukkan produk keluaran ahli Nafas yang diberikan penjenamaan Peladang sempena sambutan HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall semalam. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menampilkan produk jenama Peladang sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Johor Bahru Mall di sini semalam.

Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari berkata, pihaknya turut mengadakan promosi bagi barangan keluaran Peladang dan Nafas.

Menurutnya, sempena sambutan HPPNK pada tahun ini, Nafas turut membuka kaunter bagi menggerakkan kempen menabung dalam kalangan ahlinya.

“Selain pameran, Nafas turut mengambil kesempatan membuka kaunter bagi menggerakkan kempen melabur dalam Dana Peladang Kebangsaan (DPK) kepada ahli Peladang.

“Menerusi pelaburan dalam DPK, kita memberikan pulangan kepada wang yang dilaburkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad berkata, kini terdapat hampir 920,000 peladang telah mendaftar dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan kerajaan.

Menurutnya, pelbagai perancangan telah dibuat pada peringkat tertinggi Ahli Jemaah Pengarah Nafas untuk menceburi bidang berskala besar pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Dr Yaakob Sapari
Dr Yaakob Sapari

“Antaranya bidang ekonomi pertanian berskala besar yang melibatkan beberapa kluster dalam keluaran produk ayam, produk ruminan, aktiviti trading dan aktiviti tanaman komoditi yang menjadi bahan kepada pengeluaran makanan haiwan.

“Ia aspek yang sedang dirancang secara teliti oleh Nafas bagi membantu masyarakat tani atau peladang di seluruh negara, sekali gus membantu kerajaan mengurangkan mengimport bahan pertanian,” katanya.

Beliau turut meminta ahli Peladang aktif mengambil bahagian dalam bidang ekonomi pertanian untuk meningkatkan pendapatan daripada pengeluaran makanan yang menjadi tumpuan dalam industri pertanian.

Tetapkan lima kluster baharu

SEMENTARA itu, Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Dr Yaakob Sapari berkata, Nafas merupakan entiti perniagaan bagi peladang di seluruh negara.

Menurutnya, terdapat empat peringkat pertubuhan peladang termasuk Unit Peladang, Pertubuhan Peladang Kawasan, Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan.

“Nafas merupakan jentera kerajaan untuk melaksanakan dasar negara. Nafas turut terlibat dengan aktiviti lain seperti perladangan, industri ayam, baja dan jentera.

“Namun, untuk masa depan Nafas menetapkan lima kluster baharu bagi memastikan dasar kerajaan dilaksanakan iaitu memastikan beka-lan makanan mencukupi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, di bawah kluster ayam, Nafas menyasarkan untuk membekalkan sebanyak 20 peratus bekalan ayam daging halal dalam pasaran.

Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan seramai 400 usahawan ternak baharu dilahirkan oleh Nafas.

“Kita sasarkan mereka yang menyertai program kelolaan Nafas bakal memperoleh pendapatan sekitar RM20,000 sebulan.

“Kita menggalakkan anak muda terlibat dengan program-program tersebut. Untuk jadi petani tidak perlu kelayakan macam-macam, mereka tidak sekolah pun boleh menjadi petani. Graduan universiti dan artis pun boleh jadi petani.

“Sebelum ini orang menyangka pertanian sebagai orang miskin tapi kita buktikan hari ini ada jurutera, golongan profesional yang berhenti kerja libatkan diri dalam pertanian,” katanya.