Perkenal peranan PPNJ

Mohd Rusdi (kanan) menunjukkan produk-produk yang dipromosikan sempena HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall semalam. - FOTO ZAHID IZZANI
Mohd Rusdi (kanan) menunjukkan produk-produk yang dipromosikan sempena HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall semalam. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

JOHOR BAHRU - Memperkenalkan peranan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) kepada masyarakat.

Itu mesej yang mahu disampaikan pada pembukaan reruai PPNJ sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Johor Bahru Mall di sini bermula semalam.

Timbalan Pengurus Besar PPNJ, Mohd Rusdi Ghani berkata, menerusi platform HPPNK 2019, pihaknya berpeluang menyalurkan maklumat mengenai program dan aktiviti yang dijalankan melibatkan syarikat induk dan anak syarikat PPNJ.

Menurutnya, pihaknya juga ingin memaklumkan kepada umum mengenai hubungan kerjasama yang terjalin bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dalam usaha mengembangkan industri ayam daripada keluaran sebanyak lima peratus kepada 20 peratus dalam negara.

“Kini PPNJ mempunyai sebanyak 29 pertubuhan peladang dengan jumlah hampir 100,000 ahli. Kita galakkan ahli menggunakan teknologi.

“PPNJ menceburi pelbagai bidang dan kita didik golongan penternak supaya mencapai sebanyak 20 peratus pengeluaran ayam daging negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Rusdi berkata, pada penganjuran HPPNK kali ini, turut terdapat pameran ayam baka dan penjualan pelbagai produk yang ditawar kepada pengunjung.

“Menariknya, kita ada promosi jus keluaran anak syarikat PPNJ. Pengunjung yang Like Facebook kami akan diberikan jus durian belanda secara percuma.

Artikel Berkaitan:

“Malah, kita juga pasarkan produk ayam dan makanan sejuk beku dengan harga promosi sempena HPPNK kali ini,” katanya.

Enam juta ekor ayam setahun

SEMENTARA itu, Pengurus Besar Medan Juara Sdn Bhd, Mohd Yazid Basirun berkata, anak syarikat PPNJ itu berkemampuan mengeluarkan sebanyak enam juta ekor anak ayam setahun.

Menurutnya, menerusi projek berkenaan, anak ayam yang menetas akan dijual kepada penternak untuk dibesarkan.

“Anak ayam ini kita bela daripada hari pertama sehingga berusia setahun tiga bulan. Pada usia enam bulan, ayam baka Cobb dan Ross akan mula bertelur.

“Sebanyak 70 peratus anak ayam dikeluarkan akan dijual kepada penternak dalam kalangan ahli peladang, jikaa ada lebihan baru dijual kepada orang ramai,” katanya.

Pertubuhan Peladang Negeri Johor

PPNJ ditubuhkan pada tahun 1971 di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Tujuan utama penubuhan PPNJ adalah untuk meninggikan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meningkatkan hasil dan pendapatan serta membaiki cara hidup ahli-ahli serta mewujudkan satu masyarakat tani yang progresif, berdikari, makmur dan bersatu-padu.

Kegiatan utama PPNJ adalah dalam industri komoditi sawit yang melibatkan perladangan, perkilangan, perundingan, penyelidikan dan pemasaran.

Aktiviti-aktiviti sokongan lain seperti aktiviti sosio ekonomi dan sosial termasuk pemasaran, kredit, latihan, perniagaan tani, pengangkutan dan lain-lain saling melengkapi peranan utama PPNJ bagi memastikan ahli-ahli peladang terus mendapat sokongan dan bimbingan.