Produk koperasi ke pasaran global

A
A
A

JOHOR BHARU - Kementerian Pembangunan Usahawan komited menganjur dan menyertai ekspo perdagangan antarabangsa bagi memasarkan produk koperasi keluaran tempatan menembusi pasaran global.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memikul tanggungjawab tersebut bagi melaksanakan hasrat tersebut.

Menurut beliau, Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 menetapkan strategi supaya koperasi menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi inklusif.

“DKN 2030 akan dapat meningkatkan sumbangan perolehan koperasi daripada RM40.3 bilion pada 2018 kepada RM60 bilion menjelang 2030.

Mohd Redzuan (tengah) melawat ruang pameran Angkasa yang menaungi semua koperasi di Malaysia.
Mohd Redzuan (tengah) melawat ruang pameran Angkasa yang menaungi semua koperasi di Malaysia.

“Saya yakin sasaran itu mampu dicapai oleh Gerakan Koperasi dengan bimbingan Angkasa dalam tempoh lima tahun lebih cepat iaitu pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Wakil koperasi tempatan, antarabangsa serta rakan niaga strategik hadir pada Majlis Perasmian MACCOPS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor semalam.
Wakil koperasi tempatan, antarabangsa serta rakan niaga strategik hadir pada Majlis Perasmian MACCOPS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor semalam.

Turut hadir, Regional Director International Co-operative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP), Balu G Iyer dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Zazali Haron.

Mohd Redzuan berkata, antara ekspo antarabangsa yang disertai kementerian pada tahun ini adalah Karnival Halal Usahawan Malaysia di Bosnia Herzegovina, Malaysia-Myanmar Connect (MMC) dan Program Malaysia Fair di Shinjuku Chuo Park, Tokyo, Jepun.

Abdul Fattah (dua dari kanan) dan Mohd Redzuan (kanan) melihat produk di reruai koperasi dari Brunei yang mempromosikan produk pada karnival itu.
Abdul Fattah (dua dari kanan) dan Mohd Redzuan (kanan) melihat produk di reruai koperasi dari Brunei yang mempromosikan produk pada karnival itu.

"Bagi tahun 2020, koperasi akan menyertai ekspo halal sempena penganjuran Olimpik 2020 di Jepun.

“Koperasi turut disaran guna pakai teknologi terkini dan inovasi dalam penghasilan produk berimpak tinggi,” katanya.