Peka gesa henti eksploitasi nadir bumi Perak

Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil
Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menuntut Kerajaan Perak supaya memberhentikan dan tidak memulakan sebarang aktiviti berkaitan dengan eksploitasi nadir bumi di Perak.

Presidennya, Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya membantah Memorandum Persefahaman (MOU) di antara kerajaan negeri dengan Chinalco GXNF Rare Earth Development untuk mengeksploitasi nadir bumi di Perak yang dimeterai baru-baru ini.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan yang menyatakan MOU hanya untuk proses penyelidikan.

"Kerajaan Perak mendakwa bahawa perjanjian ini akan tertumpu kepada penyelidikan untuk mengenalpasti nadir bumi di Perak dan tiada perlombongan akan dijalankan, tetapi hakikatnya tiada sebab untuk mengenalpasti deposit nadir bumi melainkan terdapat niat untuk menjalankan aktiviti perlombongan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Shariffa Sabrina menggesa agar Kerajaan Perak mendedahkan kandungan MOU kepada orang ramai, bersama dengan sebarang syarat yang berkaitan sambil menyifatkan kenyataan dikeluarkan kerajaan negeri itu tidak boleh dipercayai sewenang-wenangnya.

"Syarat dan butiran yang terkandung dalam MOU masih tidak didedahkan kepada orang ramai dan mungkin mengandungi syarat di mana perlombongan akan dijalankan sekiranya deposit nadir bumi yang menguntungkan dikenalpasti," katanya.

Terdahulu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dalam kenyataannya berkata, MOU yang ditandatangani di antara Menteri Besar Incorporated (Perak) dan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co. Ltd. tidak melibatkan sebarang aktiviti perlombongan mineral nadir sebaliknya hanya tertumpu kepada proses kajian bagi mengenalpasti sumber-sumber nadir bumi di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Shariffa Sabrina Syed Akil - Foto Bernama
Shariffa Sabrina Syed Akil - Foto Bernama

Dalam pada itu, Shariffa Sabrina turut menyatakan rasa kecewa terhadap Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang didakwa tertumpu kepada keuntungan ekonomi dan menyokong inisiatif yang berpotensi untuk merosakkan alam sekitar sedangkan penekanan pemuliharaan dan kemampatan sumber asli negara perlu lebih diberi perhatian.

Ujarnya, Xavier gagal untuk memahami bahawa perlombongan tidak berkait sama sekali dengan ‘kemampatan’ –perlombongan adalah eksploitasi sumber asli untuk keuntungan ekonomik.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian beliau bertarikh 16 November 2019 menyatakan bahawa ‘pelbagai usaha telah digerakkan untuk merealisasikan potensi sumber-sumber mineral supaya menjadi salah satu sumber ekonomi baharu negara’.

"Kenyataan itu juga menyuarakan hasrat supaya ‘perjanjian di antara kedua-dua pihak juga dipercayai mampu membuka mata kerajaan-kerajaan negeri lain dalam menyedari tentang kewujudan sumber mineral yang terdapat di negeri masing-masing'," katanya.

Justeru katanya, bagaimana Kerajaan Perak boleh mendakwa MOU yang dimeterai bukannya langkah pertama untuk menjalankan perlombongan nadir bumi secara komersial memandangkan kenyataan sebegini dari Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.