DUN Johor cipta sejarah terima usul pembangkang

Suhaizan meluluskan usul DUN Johor yang mahu tindakan undang- undang dikenakan ke atas pihak yang membawa masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini.
Suhaizan meluluskan usul DUN Johor yang mahu tindakan undang- undang dikenakan ke atas pihak yang membawa masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila usul dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang diluluskan.

Ayub Jamil (BN- Rengit) mengutarakan usul meminta supaya DUN Johor membuat ketetapan dan pendirian terhadap isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang dibawa balik ke negara ini pada 16 September lalu.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat kemudiannya memberitahu sidang DUN Johor menerima usul berkaitan pihak yang mencetuskan provokasi dengan membawa masuk abu mayat Chin Peng dikenakan tindakan undang- undang.

"Semua dalam dewan senada, oleh itu usul ini diterima. Ini usul pertama dalam sejarah DUN Johor usul pembangkang diterima, bukti ada penambahbaikan untuk semua," katanya.

Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad (BN- Benut) menegaskan, DUN Johor perlu menyatakan pendirian tegas supaya perkara termaktub undang-undang dihormati dan isu sensitiviti yang boleh menggugat perpaduan tidak dipermainkan.

"Abu mayat Chin Peng yang dibawa masuk ke negara ini seakan melanggar Perjanjian Damai Hat Yai 1989. Ini bukan soal abu mayat kucing, tetapi penolakan rakyat terhadap perjuangan komunis.

"Sekiranya tiada bantahan dinyatakan, usaha wujudkan Galeri Bukit Kepong itu sia -sia," katanya pada persidangan Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) bagi Penggal Persidangan DUN Johor ke-14 di sini hari ini.

Selain pembangkang, anggota DUN kerajaan juga senada membuat ketetapan supaya kerajaan mengenakan tindakan kepada pihak yang membuat provokasi membawa balik abu mayat Chin Peng.

Artikel Berkaitan:

Md Ysahrudin Kusni (PKR-Naning) menegaskan abu mayat Chin Peng yang dibawa masuk ke negara ini melibatkan isu keselamatan.

"Saya berpendapat ideologi komunis tidak boleh dibawa ke Malaysia tetapi soal abu mayat adalah permohonan keluarga, tiada kena mengena kerajaan Malaysia terlibat dalam soal membawa abu mayat Chin Peng," katanya.