X

Kindly register in order to view this article
!

Solat tidak diterima 40 hari jika percaya telahan ramalan zodiak

TANGGAPAN kepercayaan berpandukan kepada bintang termasuk sama ada seseorang itu dilahirkan dalam keadaan mereka bernasib baik atau buruk diharamkan oleh Islam kerana ia dikaitkan dengan pengetahuan ilmu ghaib.
A
A

ZODIAK atau bintang 12 adalah salah satu cabang astrologi. Ia merupakan garisan yang dilalui oleh matahari dalam masa setahun. Garisan itu adalah satu garisan melengkung khayalan (imaginary line).

Dalam proses berkenaan, matahari dipercayai melalui 12 bahagian. Setiap bahagian akhirnya dinamakan mengikut nama gugusan bintang 12 iaitu Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces.

Namun begitu, zodiak seringkali dikaitkan dengan ramalan-ramalan berkaitan yang lazimnya melibatkan tilikan nasib seseorang. Baik atau malang nasib seseorang itu biasanya diramalkan mengikut zodiak berkenaan dalam tempoh tertentu.

Bahkan, ada juga laman sesawang yang menyediakan ramalan zodiak tersebut mengikut hari berdasarkan tinjauan penulis di internet.

Membaca ramalan berkenaan memang seronok. Apatah lagi jika ia membayangkan 'nasib yang baik' kepada kita. Fitrah manusia sememangnya sukakan kebaikan. Tinggal lagi keputusannya terletak pada diri sendiri sama ada mahu mempercayainya atau tidak.

Jika melibatkan nasib yang buruk, begitu sukar untuk kita menerimanya dan menganggap ia hanyalah sekadar ramalan 'kosong'.

Pun begitu, jika ia membawa tuah kepada kita, sedikit sebanyak akan membibitkan satu rasa percaya dalam diri untuk menerimanya, bukan?

Siapa yang tidak mahu nasib dan perkara baik berlaku dalam hidup. Paling tidak pun, kita pasti menyimpan impian agar ramalan positif tersebut akan berlaku dalam hidup kita.

Jika begitulah penilaiannya, kita berada di ambang bahaya. Dikhuatiri 'rasa' itu boleh menjebakkan diri dalam perbuatan syirik kerana menyamakan ALLAH SWT selain daripada-NYA.

Ketahuilah bahawa hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahui apa sahaja yang berlaku di muka bumi ciptaan-NYA. Itu termasuklah hal pada masa hadapan.

Sesungguhnya pengetahuan manusia sebagai hamba ALLAH itu ada batasnya. Begitu juga ilmu kita.

Apakah pandangan Islam tentang ramalan zodiak? Benarkah orang yang mempercayai telahan berkenaan tidak diterima solat mereka?

Sebahagian ilmu falak

Sinar Islam melontarkan segala kemusykilan itu kepada pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz.

PU FAIZ
PU FAIZ

Sebelum menjawab persoalan berkenaan, beliau mengajak kita menelusuri historiografi zodiak yang merupakan ilmu bintang yang dicapai oleh orang terdahulu seperti Yunani sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dinamakan sebagai ilmu astrologi.

"Mereka tiada televisyen atau radio dan sebagainya. Jadi, mereka banyak merenung ke langit. ALLAH menjadikan bintang di langit. Sebagai contoh, bintang itu 'dikhayalkan' dalam bentuk kala jengking yang kemudian mereka panggil sebagai Scorpio.

"Apapun, kita tak boleh kata ilmu bintang itu ditolak oleh Islam atau 100 peratus diterima dalam agama suci itu. Ini kerana, ALLAH menceritakan tentang bulan dan bintang dalam kalam-NYA. Ia sebahagian daripada sunnatullah (sunah alam)," ujar beliau.

Zodiak juga sebahagian daripada cabang ilmu falak. Ilmu falak terbahagi kepada dua iaitu falak syarie dan satu lagi ialah ilmu untuk mengetahui masa depan, terang agamawan itu.

Bagaimanapun, sebagai orang awam, ia tidak sesuai kerana boleh menggugat perjalanan akidah seseorang kerana mempercayai ilmu bintang lebih daripada kekuasaan ALLAH.

"Bagi orang alim, ilmu berkenaan tiada apa-apa (kesan) kepada mereka kerana hanya dijadikan sebagai hukum adat sepertimana yang berlaku kepada Imam Syafie. Diceritakan bahawa beliau pernah mempelajari ilmu firasah bina insan (karakter seseorang manusia).

"Pada suatu hari, Imam Syafie bermusafir mengikut satu kafilah dagangan. Apabila beliau melihat orang-orang yang terlibat dengan musafir tersebut, kelihatannya mereka itu manusia yang jahat menurut ilmu firasah berkenaan. Namun, apa yang dialami Imam Syafie pula adalah sebaliknya kerana mereka begitu memuliakan tetamu dan belanja makan. Imam Syafie hampir-hampir hendak 'mengeluarkan' ilmu firasah berkenaan kerana merasakan ia hanyalah sia-sia.

"Hinggalah beliau tiba ke destinasi, kafilah tersebut meminta balik apa yang telah mereka belanjakan. Ia bererti, ilmu firasah itu penting untuk berjaga-jaga, bukan untuk kita mengimaninya," jelas beliau.

Terang PU Faiz, daripada kisah itu, pokok pangkal suatu perkara bergantung kepada sejauh mana kemantapan iman dan akidah orang yang mempelajarinya.

"Jika tidak kuat, maka ia akan membawa syirik kepada ALLAH SWT," jelas beliau.

Diharamkan agama

Kupasan Sinar Islam mengenai topik itu diteruskan dengan mewawancara pendakwah Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul.

IMAM MUDA FAKHRUL
IMAM MUDA FAKHRUL

Jelas beliau, zodiak diamalkan oleh orang jahiliah dahulu. Amalan jahiliah itu dipanggil sebagai ilmu tanjim atau membaca bintang.

"Ia mengaitkan apa sahaja yang ada di langit. Kesan atau tanggapan kepercayaannya berpandukan kepada bintang termasuklah sama ada seseorang itu dilahirkan dalam keadaan mereka bernasib baik atau buruk.

"Jadi, perkara itu memang diharamkan oleh Islam sebab ia dikaitkan dengan pengetahuan ilmu ghaib, sedangkan bintang-bintang itu sebenarnya tiada apa-apa kesan pun kepada kita. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui dan manusia pula tidak tahu lebih-lebih lagi dikaitkan dengan bintang atau perkara-perkara tertentu khususnya ilmu zodiak termasuk horoskop dan sewaktu dengannya," katanya kepada Sinar Islam.

ALLAH SWT berfirman: "Katakanlah (Muhammad), "Tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali ALLAH..." (Surah al-Naml, ayat 65)

Solat tidak diterima

Perkongsian ilmu Imam Muda Fakhrul diteruskan dengan menyentuh tentang ramalan zodiak yang bertentangan dengan syarak. Ini kerana, ia mengaitkan dengan sial atau nasib buruk seseorang manusia itu.

BERHATI-HATI ketika membaca sebarang ramalan zodiak dan jangan sesekali 'mengimaninya' hingga mensyirikkan ALLAH SWT.
BERHATI-HATI ketika membaca sebarang ramalan zodiak dan jangan sesekali 'mengimaninya' hingga mensyirikkan ALLAH SWT.

"Jika kita mempercayai perkara-perkara seperti itu, misalnya 'jika lahir pada zodiak tertentu dan mengaitkannya dengan nasib buruk atau baik', maka Nabi Muhammad SAW tidak mengaku umat sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis baginda," katanya.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW." (Riwayat Ahmad)

Bahkan, jelas Musyrif Akademi Al-Quran Amalillah Cawangan Shah Alam, Selangor itu, ALLAH SWT tidak akan menerima solatnya selama 40 hari jika mereka percaya dengan ramalan berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam." (Riwayat Muslim)

Kepada satu soalan, Imam Muda Fakhrul berkata: "Jika kita hanya membaca ramalan zodiak berkenaan, tetapi tidak mempercayainya, ia tiada masalah. Lebih-lebih lagi kalau ia dibaca untuk menambahkan ilmu dan untuk melawan balik dakwaan-dakwaan berkenaan.

"Namun, ia tidak begitu digalakkan kerana dikhuatiri akan terpengaruh terutama kanak-kanak atau remaja yang tiada asas akidah yang kuat," jelas beliau.

Apapun, tegas Imam Muda Fakhrul, dalam Islam, tiada kelebihan-kelebihan khusus jika seseorang itu dilahirkan pada bulan-bulan tertentu. Bahkan, bulan itu sendiri tidak memberi sebarang kesan kepada nasib manusia.

"Hanya ALLAH SWT sahaja tahu apa yang berlaku kepada manusia. Kalau kita dilahirkan pada bulan Ramadan sekalipun ia bulan barakah, orang yang lahir pada bulan itu ada keberkatannya.

"Namun, jika hendak dikaitkan dengan nasib baik atau nasib buruk, ia langsung tiada kena-mengena. Bulan tiada kuasa, yang berkuasa hanya ALLAH SWT. Kadangkala orang kita percaya begitu sialnya bulan Safar dan sebagainya. Perkara seperti itu merupakan kepercayaan yang syirik atau menghilangkan keyakinan kita kepada ALLAH," akhiri bicaranya.

Kajian sifat-sifat manusia dibenarkan Islam

Kajian karakter sifat seseorang manusia merupakan perkara yang berbeza dengan ramalan zodiak, kata pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin.

USTAZAH ASMAK
USTAZAH ASMAK

Jelas beliau, ia tidak berkaitan langsung dengan zodiak kerana berdasarkan kajian ahli psikologi tentang sifat manusia yang memperkenalkan karakter seseorang.

"Ia sebagaimana yang diperkenalkan oleh pakar motivasi atau psikologi untuk memperkenalkan manusia kepada karakter berdasarkan kita lahir sebagai anak ke berapa.

"Sebagai contoh, anak sulung sikapnya begini, manakala anak kedua pula sikapnya begitu. Begitu juga selainnya," katanya kepada Sinar Islam.

Justeru, menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara itu, kajian sifat-sifat manusia tersebut dibenarkan dalam Islam kerana ia tidak bersangkutan dengan qada dan qadar ALLAH.

"Sebaliknya, ia adalah kajian dibuat oleh manusia, seterusnya merak sendiri yang merumuskan karakter-karakter manusia berdasarkan kategori (anak ke berapa).

"Namun, apabila kita membaca karakter itu, kita bukan mempercayai 100 peratus karakter kita begitu. Barangkali ada persamaan. Tujuan kita membacanya untuk mengetahui kelebihan, kelemahan dan memperbaiki peribadi kita.

"Contohnya, anak sulung dikatakan manja. Walaupun begitu, dia tidak menunjukkan kemanjaannya, tetapi bersifat tegas dan suka mengarah. Sikap suka mengarah jika tidak dikawal, ia akan menjengkelkan adik-adik di bawah. Anak sulung itu biasanya ALLAH akan letak sifat kepimpinan dalam dirinya untuk dia memimpin adik-adiknya. Sifat kepimpinan itu seharusnya dijaga sebaiknya," jelas beliau.

Sementelah, kata Ustazah Asmak, zodiak pula menyentuh tentang nasib seseorang yang semuanya di bawah kekuasaan ALLAH SWT.

"Antara perkara yang kita tidak ketahui adalah masa depan, takdir dan qada serta qadar. Itu semua adalah milik ALLAH SWT. "(Sebab itulah) Hukum kita mempercayai zodiak adalah kafir kerana telah mengkufuri al-Quran yang menyatakan ilmu ghaib di bawah pengetahuan ALLAH SWT," tegas beliau.

Ustazah Asmak turut mengingatkan kita agar bertawakal kepada ALLAH SWT dengan berusaha ke arah kebaikan, kebenaran dan kejayaan.

"Ingatlah bahawa takdir itu milik ALLAH SWT. Sebab itu, apabila kita mempercayai zodiak, maknanya kita telah melanggar takdir dan qada ALLAH.

"Manusia yang mempercayai qada dan qadar itu, dia tidak akan gentar menghadapi musuh dan kegagalan," ujar beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf