PAC gesa audit dana RM20 juta projek kereta terbang

Laporan Sinar Harian berkaitan projek kereta terbang.
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa pihak berkuasa mengaudit pelaburan dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan ke syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (Aerodyne).

Menerusi laporan PAC berkaitan projek kereta terbang, jawatankuasa itu memaklumkan syarikat tersebut merupakan sebuah firma swasta yang dikaitkan dengan projek berkenaan.

Menurut jawatankuasa itu, dana itu disalurkan kepada Aerodyne melalui syarikat dikenali sebagai VentureTech Sdn Bhd (VentureTech), sebuah anak syarikat Malaysian Industry-Government Group for High Technology (Might) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Walaupun menteri terbabit berkata projek kereta terbang adalah sebuah inisiatif swasta dan tidak menggunakan dana kerajaan, PAC mendapati Might melalui VentureTech meluluskan pelaburan sebanyak RM20 juta kepada Aerodyne.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri tinjau kereta terbang di Subang

"Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengesahkan wang tersebut disalurkan dari VentureTech kepada Aerodyne pada 1 November 2019,” memetik laporan berkenaan.

Desakan itu adalah salah satu daripada enam syor yang dikemukakan PAC dalam laporan mereka berhubung projek kereta terbang yang didedahkan hari ini.

Menteri yang dimaksudkan dalam laporan itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang sinonim dengan projek kereta terbang.

Sebelum ini Mohd Redzuan memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa tiada wang rakyat dilibatkan dalam projek berkenaan.

Kereta terbang tak dibenarkan terbang esok

Menurut laporan itu lagi, Ahli Lembaga Pengarah VentureTech meluluskan pelaburan RM20 juta itu bagi membangunkan pusat pemprosesan data di Cyberjaya, pusat penyelidikan dan pembangunan serta ‘perbelanjaan lain ‘termasuk membeli beberapa dron.

PAC turut menyarankan agar perbelanjaan VentureTech dipantau dengan lebih teliti bagi memastikan pelaburan itu hanya digunakan hanya untuk tujuan yang diluluskan.

“PAC juga mencadangkan agar pihak kementerian terbabit membuat kajian dan perancangan teliti sebelum menghebahkan sesuatu projek supaya ia tidak memberi persepsi negatif,” katanya.