Pengurus kilang beroperasi tanpa lesen cabar penguat kuasa

Pegawai penguat kuasa JPNP memeriksa dapur arang kiub yang digunakan kilang berkenaan dalam Op Kilang di sini semalam. - Foto Ihsan JPNP
Pegawai penguat kuasa JPNP memeriksa dapur arang kiub yang digunakan kilang berkenaan dalam Op Kilang di sini semalam. - Foto Ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Sebuah kilang membuat arang jenis kiub bertaraf antarabangsa disita selepas disyaki beroperasi tanpa lesen ketika diserbu Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Lebuh Raya Tun Razak di sini semalam.

Kilang berhampiran Kampung Pulau Manis yang dipercayai beroperasi sejak beberapa tahun lalu bagi menghasilkan produk arang untuk pasaran luar negara seperti Australia dan Timur Tengah itu dikesan dalam Op Kilang.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, seorang lelaki berusia 40-an dipercayai pengurus kilang turut ditahan dalam operasi bersepadu itu.

"Ketika pemeriksaan kita mendapati kilang ini mempunyai 190 tanur atau dapur arang yang aktif untuk proses membakar arang jenis kiub berkualiti tinggi.

"Kesemua alat berkenaan tidak memiliki lesen atau permit yang dikeluarkan Bahagian Kilang Jabatan Perhutanan Negeri Pahang," katanya.

Pemeriksaan turut dilakukan penguat kuasa di bahagian dapur arang kiub. - Foto Ihsan JPNP
Pemeriksaan turut dilakukan penguat kuasa di bahagian dapur arang kiub. - Foto Ihsan JPNP

Nor Azirim berkata, ketika serbuan dijalankan, pengurus kilang memberi pelbagai alasan bagi mengelak pemeriksaan dilakukan, malah turut mencabar pegawai yang membuat pemeriksaan supaya mengambil tindakan jika kilang miliknya melakukan kesalahan.

Beliau berkata, pihaknya tidak gentar dengan sebarang ugutan sebaliknya mereka yang bersalah tetap akan dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan diambil di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 di bawah Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

"Kilang ini disita sementara menunggu kertas pertuduhan disiapkan pegawai penyiasat," katanya.

Beliau berkata, pada operasi sama, lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang bekerja di kilang berkenaan ditahan Jabatan Imigresen yang turut menyertai operasi tersebut.