Maszlee terus terima sokongan

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik terus mendapat sokongan ahli akademik supaya dikekalkan sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan rombakan Kabinet.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, Maszlee yang berlatarbelakangkan seorang pejuang akademik berwibawa sememangnya masih baharu dalam pentas politik negara.

“Tidak ramai orang yang seperti dia. Cekal dan berani memperbetulkan beberapa perkara selaras dengan cita rasa dan kehendak rakyat dalam Malaysia baharu. Terpilih daripada kalangan Ahli Yang Berhormat untuk menduduki kerusi tertinggi dalam hierarki pendidikan negara, yakni selaku Menteri Pendidikan Malaysia, merupakan suatu pilihan yang tepat oleh tonggak pimpinan negara.

“Setelah setahun memimpin KPM (Kementerian Pendidikan), telah tampak sinar jaya menyaksikan perubahan ketara yang akan mencetus lebih banyak kejayaan berharga pada tahun ini dan seterusnya. Resipi untuk melakar kejayaan ini dicetuskan menerusi prinsip bahawa pendidikan itu adalah untuk semua dan menjadi tanggungjawab semua,” katanya dalam artikel bertajuk Sekilas Pandang Wajah Pendidikan Negara Era Malaysia Baharu.

Taufiq berkata, secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh Maszlee selaku Menteri Pendidikan telah mengangkat agenda pendidikan negara ke satu tahap dimensi yang lebih tinggi.

“Pendidikan untuk semua dan tanggungjawab semua adalah kekunci kepada perubahan yang dilakukannya, namun segala usaha yang dijalankan mampu dilestarikan jika setiap rakyat pada era Malaysia Baharu ini memainkan peranan penting masing-masing dengan penuh dedikasi.

“Dari anak-anak, ibu bapa, para guru, mahasiswa sehinggalah kepada para pensyarah dan penyelidik, semuanya terlibat sama dalam memastikan tahap pendidikan ilmu di negara ini mencapai status yang lebih maju dan berdaya saing,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: