Kpah, Kipre ‘terbang’ bersama Lang Merah

Anas (tengah) pada sidang media di Stadium Darul Aman hari ini. - Foto: Ahmad Aki
Anas (tengah) pada sidang media di Stadium Darul Aman hari ini. - Foto: Ahmad Aki
A
A
A

PASUKAN Kedah akan membawa masuk dua penyerang import sensasi, Kpah Sherman dari Kelab PKNS FC dan Kipre Tchetche dari pasukan Terengganu bagi memperkuatkan jentera serangan musim depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustaffa berkata, secara dasarnya kedua-dua pemain itu bersetuju menerima tawaran bersama pasukan dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan dalam masa terdekat, sebelum menandatangani kontrak bersama skuad Lang Merah, awal bulan depan.

Menurutnya, KFA masih menunggu pengesahan seorang lagi pemain import kuota Asia yang kini masih di peringkat rundingan akhir.

“Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak masih mencari pemain paling sesuai untuk mengisi kuota Asia, dia kini berada di Jepun dan akan ke beberapa negara lagi untuk cadangkan satu atau dua lagi pemain bagi posisi bahagian tengah,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman hari ini.

Anas berkata, KFA telah menandatangani sembilan pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan bagi berdepan pusingan Liga Juara Asia (ACL) selain mahu menjadi pencabar terkuat bagi saingan Liga Super tahun depan.

“Sasaran kita untuk layak ke peringkat kumpulan (liga juara juara) AFC, jadi perlu menang di sini dan Korea, kita juga mahu jadi pasukan pertama Liga Super yang layak bermain di peringkat kumpulan.

"Ini sasaran KFA dan sudah tentu menjadi pesaing utama untuk liga super,” katanya.

Menurutnya, antara pemain yang akan menyarung jersi Hijau Kuning musim hadapan adalah bekas Kapten Felda United, Muhamad Hadin Azman; Muhammad Irfan Zakaria, Mohd Sharil Sa’ari, Jafri Firdaus Chew, Zulkhairi Zulkepli dan pemain yang kini bermain di Liga Jepun, Tam Sheang Tsung.

Artikel Berkaitan:

“Kita mengekalkan 19 pemain dari musim 2019, termasuk kapten pasukan, Badroll Bakhtiar dan pertahanan berpengalaman, Khairul Helmi Johari manakala dua ubi muda dari skuad Piala Presiden turut diserap dalam pasukan, iaitu Aiman Afif Afizul dan Loqman Hakim Marzuki,” katanya.

Anas berkata, 10 pemain tidak dilanjutkan kontrak pada musim depan iaitu Fernando Rodriguez, Jonathan Bauman, Edgar Bernhadt, Abdul Hadi Abdul Hamid (penjaga gol), Muhammad Syazwan Tajudin, Syahrul Azwari Ibrahim, Shahrul Igwan, Mohamad Ramdhan Ab Hamid, Syawal Nordin dan Mohd Asri Mardzuki.