UM berada kedudukan ke-13 dalam QS Asia University Rankings 2020

Maszlee
Maszlee
A
A
A

KUALA LUMPUR- Universiti Malaya (UM) terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila berada pada kedudukan ke-13 dalam Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings (QS-AUR) 2020 berbanding kedudukan di tangga ke-24 tahun lepas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, peningkatan ketara turut berlaku bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila berjaya meningkatkan kedudukan daripada tangga 158 pada 2018 kepada kedudukan 119, manakala Universiti Malaysia Pahang (UMP) menduduki tangga 134 berbanding kedudukan 290 pada 2018.

“Ini semua hasil usaha pendekatan holistik yang dilakukan sejak Jun 2018. Selain itu, kementerian berpandangan kedudukan sesebuah universiti juga dinilai berdasarkan pengkhususan subjek yang ditawarkan di universiti.

“UM misalnya berada pada kedudukan ke-15 dunia dalam bidang kejuruteraan berdasarkan US News dan World Report. Justeru kementerian sentiasa mengambil langkah yang perlu dalam usaha meletakkan universiti awam dalam peta dunia,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Aaron Ago Dagang (PRS-Kanowit) yang ingin tahu jumlah universiti dan pelajar di Malaysia pada 2019 bagi universiti awam dan swasta, serta kedudukan universiti ini di peringkat global menerusi Global Higher Education Ranking System.

Maszlee berkata, sehingga 31 Disember tahun lepas terdapat 20 buah universiti awam dan 452 institusi pengajian tinggi swasta dengan bilangan pelajar masing-masing seramai 552,702 dan 576,982.

Kepada soalan tambahan Datuk Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) yang ingin tahu usaha kementerian bagi melonjakkan kedudukan universiti di peringkat dunia serta kesan kepada negara, Maszlee berkata, kerajaan berpendirian tidak mahu mengejar kedudukan semata-mata sehingga menggadai integriti.

“Kita mahu lahirkan universiti awam berdaya saing di peringkat global, menjana kepada penghasilan para intelek dan usahawan yang boleh menyelesaikan masalah masyarakat selain menjadi pemangkin kepada perubahan masyarakat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: