Bawa balik abu penuhi permintaan terakhir Chin Peng

CHIN PENG
CHIN PENG
A
A
A

IPOH - Tindakan membawa pulang abu mayat mendiang Chin Peng dari Thailand ke Malaysia hanya untuk memenuhi permintaan terakhir bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chai Kan Fook, 81, berkata, ia tidak bermaksud mahu memberi tekanan kepada mana-mana pihak termasuk pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kerana itu kami lakukan tanpa sebarang hebahan sejak dua bulan lalu dan sidang akhbar semalam hanya untuk makluman rakan terdekat serta saudara mara bahawa abu mayat mendiang Chin Peng sudah dibawa pulang.

"Ini kerana Chin Peng sendiri mahu abu mayatnya disemadikan di negeri kelahirannya iaitu di Perak," katanya.

Malah, katanya, pihaknya tidak merancang untuk membina tugu peringatan atau monumen bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, hanya majlis peringatan ringkas diadakan dihadiri lebih 150 orang terdiri rakan lama dan saudara mara iaitu hari sama abu mayat itu tiba di Perak, 16 September lalu.

"Abu mayat Chin Peng sudah pun ditabur di laut berhampiran Lumut dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat,” katanya.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 dan tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989.

Artikel Berkaitan:

Beliau pernah diburu pihak berkuasa Malaysia susulan pemberontakan PKM yang menyebabkan ramai rakyat negara ini terbunuh.

Berdasarkan laporan media Thailand, Chin Peng meninggal dunia di usia 90 tahun iaitu pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.

Selepas kematian Chin Peng, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu mayat mendiang Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN Abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Perak

Abu Chin Peng: Mat Sabu tunggu kenyataan KDN