Veteran tentera gesa siasat tujuan bawa masuk abu Chin Peng

Shaharudin
Shaharudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa untuk menyiasat mengenai motif sebenar pihak membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dari Thailand walaupun kerajaan sebelum ini tidak membenarkan perkara itu berlaku.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Shaharudin Omar berkata, terdapat dua kemungkinan mengenai pihak yang terlibat sama ada mereka menyokong perjuangan dibawa Chin Peng atau sebaliknya memandangkan lelaki itu pernah terlibat dalam pelbagai serangan ke atas pasukan keselamatan dan pertahanan negara.

"Selain itu terdapat juga kemungkinan mereka tidak pernah hidup pada zaman komunis dan tidak menyedari tindak tanduk mereka selama ini kepada kedaulatan tanah air.

"Perkara ini perlu disiasat segera oleh pihak berkuasa untuk mencari tujuan sebenar ini. Adakah niat mereka ingin memporak-perandakan keharmonian negara kita yang dinikmati selama ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Selain menyifatkan tindakan itu mengguris perasaan pasukan tentera, Shaharudin menegaskan, perbuatan itu seolah-olah menghalalkan segala kekejaman komunis kepada rakyat Malaysia termasuk ke atas para pejuang tanah air terdahulu.

Ujarnya lagi, ia sebenarnya juga telah mencabar pasukan tentera dan polis yang selama ini bermatian-matian mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

"Komunis merupakan musuh negara pada satu ketika dahulu, tetapi mengapa kita perlu mengagung-agungkan mereka dengan membenarkan abu Chin Peng ditabur di dalam negara ini," katanya.

Memetik laporan Malaysiakini, abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dipercayai dibawa balik ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya dengan sebahagiannya ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak manakala selebihnya di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Artikel Berkaitan:

Chin Peng meninggal dunia pada usia 90 tahun iaitu pada 16 September 2013 di Bangkok akibat sakit tua.

ARTIKEL BERKAITAN: Abu Chin Peng: Mat Sabu tunggu kenyataan KDN

Tak perlu agungkan Chin Peng: Tuan Ibrahim