Projek hakisan pantai Kuala Nerus dijangka mula tahun depan

Masalah muara cetek yang menghantui 600 nelayan dan penduduk di sekitar Sungai Paka bakal berakhir apabila projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka yang sedang dibina dijangka siap pada Mei 2021. - Foto Bernama
Masalah muara cetek yang menghantui 600 nelayan dan penduduk di sekitar Sungai Paka bakal berakhir apabila projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka yang sedang dibina dijangka siap pada Mei 2021. - Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Masalah hakisan pantai yang kritikal di kawasan pantai Kuala Nerus dapat diatasi apabila projek kawalan hakisan dijangka mula dilaksanakan tahun depan.

Timbalan Pengarah Bahagian Projek Khas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Mat Supri Kasar berkata, kerajaan Pusat telah meluluskan RM90 juta bagi kos projek kawalan hakisan pantai di daerah itu, yang tergolong dalam kawasan kritikal.

"Untuk kawalan hakisan pantai sebenarnya ada dua projek yang telah diluluskan. Satunya program kawalan pantai pelbagai negeri, yang mana diperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk hakisan di Pantai Mengabang Telipot.

"Tetapi yang memang khas untuk Kuala Nerus, ialah projek kawalan pantai yang kosnya RM90 juta dan dalam peringkat reka bentuk iaitu meliputi kawasan Tok Jembal, Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras, yang mana kawasan pantainya terhakis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Vista Infinity Development Sdn Bhd, 450,000 Jam Tanpa Kemalangan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Terengganu, Ir Dasuki Mohd Heak.

Menurutnya, selain projek di Kuala Nerus, kerajaan juga meluluskan tiga lagi projek sama iaitu di muara Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Mercang, Marang.

"Projek JPS tak sama dengan pembinaan bangunan atau jalan raya, kerana ia memerlukan pengumpulan data yang banyak dan bergantung kepada keadaan sebenar di tapak, daripada segi jangkaan masa siap.

Artikel Berkaitan:

"Ada kalanya apabila kita buat model sebenar dan uji model tersebut, banyak modifikasi yang perlu dilakukan dan sebab itu agak sukar untuk kita buat projek lebih cepat dari jangkaan masa yang dinyatakan," katanya.

Katanya, projek pembangunan fizikal di muara Sungai Besut sedang dijalankan, manakala bagi Sungai Setiu dan Sungai Mercang masih dalam proses menyiapkan reka bentuk.- Bernama