Sultan Johor berkenan rasmi Menara JLand

Sultan Ibrahim berkenan meletakkan tangan di petak khas sebagai simbolik merasmikan Menara Jland malam ini. - Foto Bernama
Sultan Ibrahim berkenan meletakkan tangan di petak khas sebagai simbolik merasmikan Menara Jland malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan Menara Johor Land (JLand) yang terletak di Jalan Wong Ah Fook di sini, malam ini.

Baginda yang tiba di majlis perasmian itu kira-kira jam 7.30 malam, disambut Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Kamaruzzaman ketika berucap berkata menara setinggi 37 tingkat itu mula dibina pada 2014 dan siap sepenuhnya pada tahun lepas.

Katanya, ia menempatkan ruangan niaga melebihi 300,000 kaki persegi yang boleh disewa serta dilengkapi dengan 'Skyscape' iaitu jambatan kaca telus pandang, daripada tingkat 34 dengan ketinggian 149 meter dari aras tanah.

“Ia juga mempunyai ‘Kafe Roof Top’ dan ‘dek pemerhatian’ pada ketinggian yang sama untuk menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor dan Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun hadapan.

Kamaruzzaman berkata, apa yang lebih menarik mengenai pembinaan menara ini ialah ia menekankan ciri-ciri teknologi hijau termasuk tingkap kalis ‘ultraviolet’, pemasangan sensor gerakan bagi mengawal selia penggunaan elektrik dan dinding kaca dengan penyerapan haba rendah.

Katanya, ciri ini dapat membantu menjimatkan kos tenaga sehingga 70 peratus.

Kamaruzzaman berkata, pembangunan menara terletak strategik di pintu masuk Ibrahim International Business District (IIBD), serta Iskandar Malaysia dari arah Singapura itu juga adalah selari dengan hasrat JCorp dalam merealisasikan aspirasi Sultan Johor dalam IIBD. - Bernama

Artikel Berkaitan: