Gempa 6.4 magnitud gegar Albania

Operasi SAR dilakukan di salah sebuah bangunan yang runtuh di bandar Thumane. - Foto AFP
Operasi SAR dilakukan di salah sebuah bangunan yang runtuh di bandar Thumane. - Foto AFP
A
A
A

TIRANA - Pasukan penyelamat di Albania kini berhempas-pulas melakukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) selepas gempa terkuat menggegar negara itu dan meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa manakala lebih 600 cedera.

Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean memaklumkan gempa 6.4 magnitud itu berlaku pada jam 3.54 pagi (waktu tempatan) dan berpusat 34 kilometer di barat laut Tirana di Laut Adriatik.

Kawasan paling teruk terjejas dilaporkan di bandar Durres dan ia adalah gegaran paling kuat pernah melanda negara itu sejak 1926.

Kira-kira 300 tentera bersama 1,900 anggota polis turut dikerah ke Durres dan Thumane untuk menyertai operasi SAR di mana kebanyakan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

"Angka korban dijangka meningkat berikutan operasi SAR sedang giat dijalankan," kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Albana Qahajaj.

Di Thumane, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan jengkaut untuk mencari mangsa.

Gempa kuat itu juga menyebabkan penutupan sekolah di Durres, Lezhe dan Tirana. - Agensi

Artikel Berkaitan: