Ungkapan 'sila duduk, jangan lari' pasti dikenang

Sultan Muhammad V. - Foto SINAR HARIAN/SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Sultan Muhammad V. - Foto SINAR HARIAN/SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - “Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tuan Yang Dipertua Dewan Negara dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sila duduk dan jangan lari.”

Mana mungkin rakyat Malaysia melupakan titah Sultan Muhammad V semasa merasmikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14, Julai lepas.

Dengan senyuman lebar, baginda kemudian duduk mengambil tempat dan ternyata reaksi spontan itu mengundang ketawa ahli Parlimen dan mereka yang mengikuti sidang berkenaan.

Ayat itu juga dengan pantasnya tular di laman sosial malah penulis juga pernah ternampak individu memakai baju bertulis ‘Sila duduk, jangan lari’. Begitu dekatnya baginda dengan jiwa rakyat Malaysia.

Maka, tidak hairanlah tatkala tersebarnya berita peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, ramai berdukacita, terkejut malah tertanya-tanya apakah sebabnya baginda berbuat demikian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Agong letak jawatan: Rakyat terkejut, tertanya-tanya]

Dengan keputusan itu, maka Sultan Muhammad menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama dalam sejarah negara meletakkan jawatan ketika masih dalam perkhidmatan.

Sebalik rasa terkejut, kebanyakan rakyat sedih mendapat perkhabaran itu.

Manakan tidak, baginda dianggap sebagai pemerintah berjiwa rakyat, merendah diri dan terkenal kerana tidak mementingkan protokol.

Artikel Berkaitan:

Ciri-ciri itu membuatkan rakyat semakin sayang kepada baginda. Senyuman yang kerap terukir di wajah baginda juga ‘menyenangkan’ hati rakyat. Benar, rakyat sangat menyayangi baginda.

[ARTIKEL BERKAITAN: Agong letak jawatan]

Pastinya, rakyat akan merindui baginda.

Titah ‘sila duduk, jangan lari’ akan terus menjadi kenangan rakyat bersama Sultan Muhammad.

Malah, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut menciap di laman Twitternya, mengimbau kembali kenangan tatkala baginda mengungkapkan titah tersebut.

“Kenangan di parlimen...’yang berhormat sekalian...sila duduk...dan jangan lari'...” tulis beliau.

Apa yang pasti, perkhabaran peletakan jawatan baginda mengejutkan seantero Malaysia.

Sudah pasti, muka depan akhbar hari ini ceritanya sama, baik bahasa Melayu, Inggeris, Cina bahkan Tamil, semuanya menceritakan kisah ini.

Majlis Raja-raja dijangka akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memilih pengganti baginda.

Semuanya bakal ditentukan kelak, keputusan belum ditetapkan, hanya khabar angin bertiup kencang kini.

Apa pun keputusannya, Sultan Muhammad akan terus dikenang sebagai salah seorang pemerintah berjiwa rakyat. Maka, tidak hairanlah ramai mengagumi baginda.

DAULAT TUANKU.